fbpx

Wanita disamun lelaki berparang di kedai serbaneka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEDAI serbaneka tempat kejadian.

MELAKA – Seorang pekerja wanita berdepan detik cemas selepas disamun seorang lelaki bersenjatakan parang sepanjang 0.6 meter dalam kejadian di sebuah kedai serbaneka di Taman Malim Jaya, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.35 pagi itu, mangsa yang berusia 30-an bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, namun suspek berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM89.95.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 6.35 pagi.

Katanya, panggilan tersebut dibuat oleh mangsa yang memaklumkan dia disamun seorang lelaki ketika sedang bekerja di premis berkenaan.

“Mengikut maklumat awal, suspek telah masuk ke kedai tersebut dan berpura-pura sebagai pelanggan sebelum tiba-tiba mengeluarkan sebilah parang panjang berukuran kira-kira dua kaki.

“Suspek yang memakai pelitup muka kemudian mengacukan senjata itu ke arah mangsa sambil mengarahkannya membuka peti simpanan wang tunai sebelum melarikan wang tunai keseluruhannya berjumlah RM89.95,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ujarnya, suspek juga telah mengambil beberapa kotak rokok pelbagai jenis di rak pameran rokok dan di atas kaunter.

“Suspek kemudian melarikan diri dipercayai menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih dipandu seorang lagi rakannya.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut, suspek dipercayai dalam lingkungan usia 30-an,” katanya.

Mohd. Sukri berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Assyukri Saini di talian 017-3827573.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI