fbpx

NBCT bakal tarik ramai pelabur global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Penang Port Sdn, Bhd. (Penang Port) bakal menjadi pusat tumpuan bagi aktiviti penghantaran berikutan pewartaan salah satu daripada terminal utamanya, iaitu Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) sebagai zon komersial bebas (FCZ) pada 1 Februari lalu.

Penang Port menerusi ­kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, inisiatif untuk mewartakan NBCT sebagai FCZ sebenar­nya telah bermula sejak tahun 2007.

Namun pada tahun 2018 apabila Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Penang Port akhirnya melihat semula pelan untuk mewartakan seluruh NBCT dengan memohon kelulusan dan sokongan daripada   Unit Perancang Ekonomi Negeri Pulau Pinang.

Jelasnya, pewartaan NBCT melibatkan 10 lot tanah se­luas 83.57 hektar.

Antara akti­viti yang menerima impak positif daripada status tersebut ialah pemindahan, melibatkan penghantaran barangan atau kontena ke destinasi perantaraan sebelum dibawa ke destinasi lain.

“Penang Port akan memanfaatkan status baharu ini untuk memasuki pasaran Teluk Be­ngala dengan melakukan aktiviti pemindahan barang bagi kontena yang bergerak antara Teluk Be­ngala dan Timur Jauh.

“Dalam masa terdekat, rancangan kami adalah untuk ­menghubungkan operator kecil di Teluk Bengal dengan operator utama.

“Status FCZ akan menarik le­bih banyak trafik ke NBCT dan seterusnya akan meningkatkan peluang pekerjaan yang diperlukan pada pandemik Covid-19,” katanya.

Tambah kenyataan tersebut, Penang Port juga dapat memanfaatkan status FCZ untuk menarik minat pelabur di seluruh dunia bagi melakukan aktiviti nilai tambah seperti pecah pukal, penggredan, pembungkusan semula, pelabelan semula, transit dan eksport semula.

“Syarikat asing akan dapat menggunakan kemudahan tersebut sebelum mengeksport produk mereka ke luar negara.

“Hal ini akan memberi manfaat kepada Penang Port dalam jangka masa panjang melalui pengecualian duti kastam, duti eksais, cukai jualan dan cukai perkhidmatan kecuali untuk barangan tertentu,” katanya.