fbpx

Lelaki terjun sungai elak ditahan ditemui lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba mengangkat mayat seorang lelaki yang ditemui lemas di Sungai Johor, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Seorang lelaki ditemui mati lemas manakala rakannya dapat meloloskan diri selepas mereka terjun ke dalam Sungai Johor di sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian pukul 12.15 tengah hari itu, kedua-dua lelaki terbabit menaiki sebuah lori dipercayai melarikan diri selepas dikejar sepasukan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kejadian berlaku semasa pihaknya ternampak sebuah lori jenis Isuzu melanggar sebuah kenderaan orang awam di Jalan Kota Tinggi – Johor Bahru.

Anggota polis kemudian mengejar kenderaan itu sebelum menemui lori berkenaan ditinggalkan di kawasan jambatan Semanggar, Sungai Johor.

“Pasukan polis ternampak dua lelaki tempatan keluar daripada lori dan terjun ke dalam sungai.

“Seorang suspek dipercayai lemas akibat arus deras manakala seorang lagi dapat lari ke kawasan tebing sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussin berkata, semakan ke atas lori mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di Kepong, Kuala Lumpur.

Susulan itu operasi mencari dan menyelamat mangsa telah digerakkan dengan kerjasama polis dan bomba.

“Pada pukul 6 petang, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30an dijumpai tersangkut pada sebatang kayu di dalam sungai tersebut.

“Mayat mangsa ditemui 50 meter dari tempat mangsa terjun.

“Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi dan mayatnya dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat,”katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Usaha mengesan seorang lagi rakan mangsa yang berjaya melarikan diri masih dijalankan di tempat kejadian.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI