fbpx

60 pekerja tapak bina bertempiaran lari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian pekerja warga asing yang diperiksa di sebuah tapak pembinaan di Bertam, Kepala Batas hari ini.

SEBERANG PERAI – Kira-kira 60 pekerja sebuah tapak pembinaan di Bertam, Kepala Batas di sini bertempiaran lari ke kawasan semak selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan mengejut hari ini.

Mereka yang merupakan pekerja warga asing itu dipercayai ketakutan ketika tapak pembinaan pengubahsuaian hotel itu diserbu pasukan polis dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) kira-kira pukul 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata pihaknya bagaimanapun berjaya memeriksa 40 pekerja warga asing.

“Mereka mempunyai permit kerja yang sah, tetapi 11 orang lagi terdiri warga Bangladesh dan Indonesia tiada permit dan akan diambil tindakan melalui akta imigresen.

“Kira-kira 60 orang telah melarikan diri ke kawasan semak berhampiran,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, pengarah CIDB negeri Zahidi Hashim berkata, pihaknya mengeluarkan notis pemberhentian kerja sementara tapak pembinaan berkenaan untuk kontraktor mengemukakan maklumat diperlukan pihaknya.

“Pihak kontraktor didapati gagal dari sudut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dalam tempoh itu mereka tidak dibenarkan melakukan apa-apa aktiviti.

“Pemeriksaan juga mendapati kontraktor utama turut gagal mengemukakan dokumen dan permit berkaitan pembinaan rumah kongsi di dalam tapak pembinaan terbabit di mana ruangnya tidak selamat dari segi pengudaraan serta persekitaran yang boleh menyebabkan penyebaran wabak Covid-19,” katanya.

Menurutnya, majikan juga diambil tindakan kerana gagal menunjukkan keputusan ujian saringan Covid-19 pekerja asing. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI