fbpx

Setinggan warga asing lubuk curi air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd. Fazil Ismail (kiri) melihat sambungan haram di kawasan setinggan sekitar Selangor.

SHAH ALAM – Penempatan setinggan khususnya di Klang dan Petaling Jaya disyaki menjadi lokasi panas penyambungan haram bagi kegiatan curi bekalan air terawat untuk pengguna domestik.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) V. Kirupakaran berkata, situasi terjadi apabila penempatan itu dihuni oleh warga asing.

Beliau tidak menolak kemungkinan wujud operator haram didalangi kumpulan ter­tentu yang mengaut untung atas angin.

“Penyambungan haram air itu disalurkan kepada 50 hingga 100 buah rumah.

“Mereka juga perlu membayar kira-kira RM20 kepada operator haram itu yang menyebabkan kerugian kepada operator air di Selangor (Pe­ngurusan Air Selangor Sdn. Bhd.),” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kelmarin Kosmo! melaporkan negara kehilangan pendapatan kira-kira RM8.2 juta dalam tempoh dua tahun sejak 2019 akibat kegiatan mencuri air terawat berpunca daripada penyambu­ngan haram yang dilakukan terutamanya melibatkan syarikat di tapak binaan dan kilang.

Menurut Kirupakaran, struktur kemudahan yang tidak teratur di setinggan turut menyumbang kepada aktiviti mencuri air.

Bagaimanapun tambahnya, siasatan di lapangan amat sukar untuk mengesan operator ha­ram susulan ramai ‘penerima air tidak sah’ bertindak mendiamkan diri.

“Kebiasannya kita melakukan program pemutihan untuk memastikan mendapatkan bekalan air bersih dengan cara sah. Namun, operator air di setiap negeri juga mempunyai masalah apabila penghuni itu diragui status undang-undangnya.

“Jadi, mereka terdesak sebab merupakan sifat manusia tidak boleh hidup tanpa air seterusnya mengambil jalan mudah dengan mencuri air,” katanya.

Jelas Kirupakaran, tempoh masa paling lama kegiatan curi bagi pengguna domestik ini adalah kira-kira tiga bulan.

“Operator air di setiap negeri akan sentiasa menyiasat kerana kecurian air memberikan kesan kepada pendapatan mereka.

“Kes juga berlaku di perumahan biasa dan kompaun dikenakan kepada pengguna domestik sehingga RM20,000,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI