fbpx
Chan menunjukkan alatan yang digunakan ketika merawat pesakit yang sering memintanya untuk mengembalikan keharmonian rumah tangga dan seri wajah di Kampung Dalam, Tumpat.

Ramai wanita jumpa bomoh Siam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – Seorang bomoh Siam, Chan Lung di Kampung Dalam di sini menjadi rujukan masyarakat setempat untuk mendapatkan khidmatnya termasuk mengembalikan keharmonian rumah tangga dan menaikkan seri wajah sejak tujuh tahun lalu.

Chan, 71, mendakwa, walaupun telah mempelajari ilmu perubatan tradisional masyarakat Siam dengan gurunya di sebuah kuil di Repek, Pasir Mas sejak 40 tahun lalu, namun dia hanya berani mengubati orang ramai sekitar tahun 2012.

“Sebelum ini saya hanya mempraktikkan ilmu perubatan kepada rakan-rakan terdekat sahaja,” katanya kepada Kosmo!.

Dakwanya, dia tidak pernah memanggil orang untuk berubat tetapi kebanyakannya datang selepas mendengar daripada mulut orang yang pernah berubat de­ngannya.

Bapa kepada seorang anak itu mendakwa, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada orang Melayu dan mereka meminta pelbagai jenis pertolongan atau perubatan.

“Ramai meminta tolong supaya mengembalikan keharmonian rumah tangga dan bantuan agar wajah berseri-seri ketika berada di khalayak.

“Kebanyakannya wanita. Saya hanya memberikan bedak dicampur dengan batuan emas hidup dengan dibacakan ayat-ayat dari kitab Buddha berusia lebih 100 tahun sebagai jampi serapah.

“Ada juga ayat itu dibaca sebelum ditiupkan ke dalam air masak atau minyak kelapa,” dakwanya.

Chan mendakwa, untuk membuatkan rumah tangga kembali harmoni, dia hanya meminta gambar pasangan untuk dibacakan ayat-ayat tertentu sebelum menyuruh mereka pulang.

“Berhasil atau tidak bukan ketentuan saya kerana saya hanya membantu,” dakwanya sambil memberitahu tidak pernah bertanya mengenai latar belakang pesakit yang sering datang de­ngan menaiki kereta mewah.

Ketika mengubat, Chan men­dakwa dia hanya menggunakan air dan lilin, manakala akar kayu seperti batang wali, kucing galak serta misai kucing bagi ra­watan mengurut atau demam.

Dakwa Chan, dia tidak menjanjikan sebarang jaminan dalam perubatan dan itu terserah kepada usaha mereka sendiri.

“Saya tidak mengubat untuk membuat khianat. Sekiranya niat mereka ke arah itu, awal-awal lagi saya tolak,” dakwanya.

Sikap itu dipraktikkan kerana mendiang gurunya berpesan supaya jangan melakukan perbuatan kotor dalam ilmu perubatan dan hanya digunakan untuk membantu orang.

“Saya tidak pernah meletakkan sebarang harga. Sekiranya pelanggan memberi wang, saya ambil dan jika tiada, itu tidak menjadi masalah,” dakwanya.

Dakwa Chan, cabaran utama dihadapi ialah melayan pelbagai ragam pesakitnya.

“Saya hanya bantu untuk permintaan yang logik dan berupaya sahaja. Saya juga tidak membuat tilikan kerana ia di luar bidang ilmu saya,” dakwanya.

Chan mendakwa, sejak mula aktif, dia telah menjelajah ke seluruh pelusuk negara de­ngan jemputan daripada ramai
pihak.

“Sekarang ini, bomoh Siam tidak ramai di Kelantan kerana ada yang sudah meninggal dunia. Sebab itu, saya menggalas tanggungjawab ini,” dakwanya.

Dakwa Chan, sebelum wabak Covid-19 melanda negara, dia banyak menerima kunjungan orang ramai dari luar Kelantan, malah pernah lebih 10 pelanggan sehari.

“Bagaimanapun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada tahun lalu, hanya pelanggan dari Kelantan dan daerah ini yang datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN