fbpx

SOP Tahun Baru Cina dapat persetujuan MKN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menegaskan bahawa prosedur operasi standard (SOP) perayaan Tahun Baru Cina yang diumumkan semalam adalah SOP ketat yang telah dilaksanakan sewaktu setiap perayaan.

Ismail Sabri berkata, setiap SOP perayaan bukan Islam yang diumumkan kepada orang ramai adalah hasil pembentangan yang dibuat oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan mendapat persetujuan daripada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sebelum membentangkan kepada Sidang Khas MKN, KPN terlebih dahulu wajib mengadakan perbincangan dan mendapat persetujuan bersama wakil setiap pertubuhan keagamaan dan persatuan kebudayaan kaum-kaum terbabit.

“KPN akan mengangkat hasil perbincangan tersebut untuk dibincangkan semula bersama MKN dan KKM khususnya bagi menilai dari segi risiko kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri menerangkan, setelah keputusan antara KPN, KKM dan MKN dibuat, barulah KPN akan mencadangkan kepada Sidang Khas MKN untuk diluluskan dan selepas diluluskan barulah SOP tersebut diumumkan kepada rakyat.

“Kebiasaannya bagi menghormati keputusan tersebut, kerajaan jarang mengubah SOP yang telah diputuskan KPN bersama pemimpin agama dan pertubuhan berkaitan.

“Seperti dalam isu Tahun Baru Cina, KPN memaklumkan telah mengadakan dua kali sesi libat urus melibatkan 21 Badan Pertubuhan Agama, Persatuan Kebudayaan Cina, Buddha, Tao, Kristian, Persatuan Perniagaan Cina termasuk Sabah dan Sarawak serta pihak-pihak berkaitan bagi sama-sama menyediakan SOP,” jelasnya.

Katanya, beliau berasa hairan apabila SOP yang dibentangkan itu dikritik hebat oleh masyarakat.

“Bagaimanapun, jika terdapat sebarang perubahan yang ingin dilakukan oleh KPN selepas mendengar pandangan ramai, KPN boleh membentangkan semula kepada MKN untuk dipertimbangkan,” tambahnya.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan sambutan Tahun Baru Cina hanya dibenarkan di rumah kediaman bersama ahli keluarga dari rumah yang sama sahaja bagaimanapun pengumuman itu mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI