fbpx

Najis babi Kampung Selamat sah punca pencemaran Sungai Kereh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zikrullah meninjau pencemaran Sungai Kereh, Tasek Gelugor baru-baru ini.

SEBERANG PERAI – Satu kajian secara saintifik baru-baru ini mendedahkan punca pencemaran Sungai Kereh, Tasek Gelugor di sini adalah daripada najis babi yang dilepaskan dari Kampung Selamat, Tasek Gelugor.

Isu pencemaran itu telah menghantui penduduk sekitar sungai berkenaan sejak kira-kira 40 tahun lalu yang mendakwa terpaksa tinggal dalam suasana menderita bau busuk setiap hari.

Perkara itu didedahkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas) dan Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sungai Kereh yang menggunakan perkhidmatan sebuah makmal bebas untuk menganalisis kualiti air.

Pengerusi Lekas, Zikrullah Ismail berkata, kajian itu dijalankan di beberapa badan air di Kampung Selamat dan Sungai Kereh pada Disember lalu.

“Berdasarkan laporan analisa makmal, telah ada bukti saintifik untuk menyimpulkan bahawa punca utama pencemaran Sungai Kereh adalah daripada aktiviti penternakan babi di Kampung Selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kewujudan bukti itu akan memperkukuhkan kenyataan yang dibuat Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sungai Kereh selama ini yang mendakwa pencemaran berpunca daripada penternakan babi di kawasan Kampung Selamat.

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sungai Kereh, Abdul Razib Abdul Rahim berkata, pihaknya menganggap pencemaran berkenaan sudah terlalu lama diambil tindakan untuk mencari jalan penyelesaian.

“Pencemaran najis babi terus berlaku walaupun sudah ada desakan demi desakan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) yang bersama kami.

“Kami ingin tegaskan bahawa badan ini akan terus membela penduduk kampung yang telah lebih 40 tahun berdepan dengan isu pencemaran ini sama ada membuat laporan polis atau dengan lebih serius ke pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Dalam pada itu, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, isu pencemaran itu akan dapat diselesaikan dengan pemantauan kualiti air sungai yang berterusan, pematuhan penternak bagi pelaksanaan sistem pelepasan sisa-sifar serta penguatkuasaan Enakmen Penternakan Babi (Negeri Pulau Pinang) 2016 dan Peraturan-Peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI