KOTA BHARU – Kerajaan negeri bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak lebih RM2.9 juta kepada rakyat Kelantan yang terjejas akibat Covid-19 menerusi dua kategori Pakej Bantuan Khas Berkala.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM 1.8 juta diperuntukkan menerusi Bantuan Keperluan Asas Makanan atau RM 40,000 bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada rakyat yang terkesan melalui 45 Pusat Khidmat DUN.
Katanya, bagi kategori kedua pula iaitu Insentif Tunai Peniaga Kecil Dan Penjaja Kecil, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 1.125 juta atau RM 25,000 kepada peniaga kecil dan penjaja kecil yang layak bagi setiap DUN melalui Pusat Khidmat DUN (PKD).
“Kerajaan negeri sentiasa memantau perkembangan dan kesan penularan wabak Covid-19 di seluruh Kelantan.
“Sehingga kini, Kelantan belum bebas daripada jangkitan wabak Covid-19. Jawatankuasa Kerja Keselamatan Khas Negeri telah mengambil pelbagai usaha dan langkah proaktif secara bersepadu untuk membendung penularan wabak Covid-19 di Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad, kerajaan negeri amat prihatin terhadap kebajikan rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terpaksa dilaksanakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di seluruh negara. -K! ONLINE














