fbpx

Suami, isteri dera anak angkat direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Polis menahan sepasang suami isteri hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak berusia 14 bulan yang dipercayai didera oleh keluarga angkatnya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kedua-dua suspek berusia 26 dan 31 tahun itu ditahan pada pukul 1 pagi di sebuah rumah di Kok Lanas di sini.

Katanya, pasangan itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Ahad depan untuk membantu siasatan.

Ujarnya, ujian air kencing mendapati suami kepada wanita berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan mendapati, kanak-kanak itu dipercayai mengalami kecederaan pada bahagian badan, muka, dahi dan tangan selain bengkak paha kanan.

“Kanak-kanak itu juga dipercayai diserahkan kepada keluarga angkat yang merupakan pasangan terbabit pada bulan Ogos tahun lalu oleh ibu kandungnya yang berusia 33 tahun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Abdul Rahim, bagaimanapun, pasangan itu telah menyerahkan semula mangsa kepada ibu kandungnya yang tinggal Besut, Terengganu pada November lalu.

Katanya, apabila menerima semula anaknya, ibu kanak-kanak itu menyedari terdapat kesan parut pada tubuh anaknya sebelum membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Besut.

“Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta kanak-kanak 2001.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI