fbpx

Kerajaan cari jalan penyelesaian isu PdPR anak-anak Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Rahman (kanan) menyerahkan set bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli diwakili Dahil Yokchopil (dua dari kanan) di Dewan Orang Ramai Kampung Chang, Sungai Gepai, Bidor hari ini. Foto - ZULFACHRI ZULKIFLI

TAPAH – Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan mencari jalan penyelesaian bagi menangani masalah berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dihadapi anak-anak masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pihaknya percaya isu ini akan dipandang serius oleh kementeriannya dan Kementerian Pendidikan agar anak-anak Orang Asli ini tidak ketinggalan dalam pendidikan.

“Kementerian telah mengenal pasti punca masalah PdPR dalam kalangan anak-anak Orang Asli ini dan antaranya ialah capaian internet yang lemah atau tiada langsung di kawasan penempatan mereka.

“Satu lagi punca ialah ketiadaan komputer atau gajet dalam kalangan masyarakat Orang Asli kerana kebanyakan mereka tidak mampu untuk menyediakannya kepada anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Kampung Chang di Sungai Gepai, Bidor di sini hari ini.

Sebanyak 69 bakul makanan disampaikan kepada masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan terutamanya kepada golongan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

Mengulas lanjut Abdul Rahman berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan beberapa kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia agar masalah tersebut dapat ditangani secara bersama dan menyeluruh.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Chang, Dahul Yokchopil berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat mengambil tindakan sewajarnya agar 90 orang anak-anak Orang Asli di kampung berkenaan dapat mengikuti pembelajaran dalam talian dengan baik.

“Kita bimbang anak-anak ini putus asa dan tidak berminat untuk meneruskan pembelajaran memandangkan masalah internet dan gajet ini sekiranya ia berterusan dalam tempoh lama.

“Saya juga mencadangkan agar wakil guru dapat masuk ke dalam kawasan perkampungan ini agar dapat memberi tunjuk ajar kepada mereka memandangkan ada ibu bapa di sini yang tidak tahu membaca dan menulis,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI