fbpx

Misteri bunyi ketukan dari dalam kubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WALAUPUN pernah mengalami kejadian pelik, Mansor (tengah) serta rakannya tetap meneruskan kerja mereka sebagai penggali kubur.

PENGALAMAN Mansor Ahmad, 63, selama 51 tahun sebagai penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Irfan di Derga, Alor Setar, Kedah sudah pasti meninggalkan 1001 cerita misteri kepada dirinya.

Sepanjang tempoh itu, Mansor mendakwa berlaku banyak kejadian aneh sehingga kadangkala menimbulkan perasaan seram.

Bagaimanapun, dia menganggap semua yang berlaku itu adalah kehendak Allah.

Menurut Mansor, dia mula menggali kubur pada usia 12 tahun membantu bapa saudaranya, Allahyarham Saidon Yasin.

Katanya, pada awalnya dia berasa takut apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai jenazah terutama semasa mengorek liang.

“Pada awalnya semasa mengorek liang lahad, saya pernah terjumpa tulang, tengkorak serta rambut lama yang menakutkan.

“Bagaimanapun selepas beberapa kali menggali liang lahad, perasaan takut itu hilang, malah sudah biasa jika ‘diusik’ makhluk halus,” katanya.

Menurut Mansor, pelbagai peristiwa pernah dilaluinya sepanjang bekerja di tanah perkuburan yang berusia lebih 150 tahun itu.

Katanya, pengalaman pertamanya berlaku pada 1984 apabila terdengar bunyi ketukan dari dalam kubur selepas selesai mengebumikan satu jenazah.

“Pada masa itu, semua saudara dan kenalan jenazah sudah meninggalkan tanah perkuburan dan tinggal kami sahaja bagi melakukan kerja-kerja terakhir.

“Tiba-tiba terdengar seperti ketukan dari dalam kubur dan kami enggan menghiraukannya tetapi lama kelamaan bunyi ketukan itu semakin kuat sebelum terhenti tidak lama kemudian,” ujarnya.
Mansor berkata, berita kejadian itu tersebar sehingga pihak berkuasa turun ke lokasi dan mengawal tanah perkuburan tersebut supaya orang ramai tidak mengunjungi kawasan tersebut.

 

TANAH Perkuburan Islam di Masjid Al Irfan ,Derga, Alor Setar.

 

Selain kejadian yang menyeramkan sepanjang bergelar penggali kubur, dia juga pernah menemui beberapa jenazah yang masih dalam keadaan sempurna seperti baru sahaja dikebumikan walaupun sudah berpuluh tahun.

Bagaimanapun semua jenazah yang sempurna itu dikebumikan di situ semula walaupun batu nisannya sudah tercabut.

Kejadian itu berlaku kerana tanah perkuburan di situ sudah lama dan terpaksa ditanam secara bertingkat akibat keluasan tanah yang terhad .

“Bagaimanapun pada 2018, sekali lagi mengalami pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila terhidu bau yang sangat wangi ketika sedang menggali liang kubur.

“Difahamkan bau itu adalah dari kubur bersebelakan dengan liang yang kami sedang gali yang mana jenazah itu dikatakan seorang pemuda yang banyak menghabiskan dirinya dengan amal kebaikan kepada agama dan keluarga,” katanya.

Katanya, pada Oktober lalu, penduduk di kawasan sekitar dikejutkan dengan penemuan ‘kubur berdarah’ di kawasan perkuburan tersebut.

“Polis kemudian mengesahkan cecair merah itu disahkan bukan darah, sebaliknya campuran cat berwarna merah dan minyak,” katanya.
Tambahnya, dia menganggap segala yang terjadi di situ adalah kehendak Allah dan manusia tidak ada hak untuk mentafsirkannya.

“Semua yang terjadi itu adalah rahsia Allah dan sebagai manusia hanya perlu mengambil iktibar serta pengajaran sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI