fbpx
IMAN SUHANA

Walaupun jahat, orang tak marah – Iman Suhana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Lari daripada kebiasaan impak watak antagonis yang lazimnya akan dibenci penonton, perkara sebaliknya berlaku kepada pelakon baharu Iman Suhana.

Iman setakat ini tidak menerima satu pun komen negatif walhal drama bersiri lakonannya, Takdir Yang Tertulis kini hangat diperkatakan khalayak dek jalan cerita yang menyakitkan hati.

Iman atau nama penuhnya Norsuhana Mohamad Wahid, 30, berkata, dia masih mengakui terkejut dengan sambutan yang diberikan oleh penonton terhadap naskhah berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, namanya tiba-tiba menjadi bualan netizen dalam media sosial penangan lakonan hebatnya sebagai Rozita atau Ita, adik kepada Ruhila laman Elvina Mohamad.

Dalam drama berkenaan, Ita bersekokongkol dengan ibunya, Che Salmah lakonan Didie Alias untuk menjatuhkan dan merampas segala milik Juweta, isteri pertama abang iparnya lakonan Nazim Othman.

Antara babak lakonannya yang tular dalam media sosial sehingga menggeletek hati netizen ialah ‘susu strawberi Ita’ dan ‘suami imaginasi di meja makan’.

“Alhamdulillah setakat ini saya masih lagi belum dapat mesej atau komen negatif daripada penonton drama tersebut. Sambutan yang saya terima semuanya positif walaupun hanya sebagai watak pembantu.

“Rata-rata netizen cakap, mereka tak jadi hendak memarahi Ita walaupun jahat dan asyik ikut cakap ibunya sahaja. Memang ramai yang pecah perut dengan perangai Ita,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

IMAN SUHANA bersama dua pelakon menjayakan watak utama dalam drama popular, Takdir Yang Tertulis, Elvina dan Nad Zainal.

Kongsi Iman, dia turut menjadikan beberapa pelakon hebat tanah air sebagai rujukan untuk menjayakan watak tersebut.

“Bagi menjayakan karakter sebegitu, saya banyak belajar dengan menonton lakonan pelakon hebat lain seperti Didie Alias, Sharifah Sakinah dan Amyza Adnan.

“Apa pun, saya bersyukur kerana ramai penonton yang suka dan memuji dengan karater saya. Berbaloilah penat lelah saya di set pengambaran,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, dia juga berterima kasih kepada pihak produksi Radius One Sdn. Bhd. kerana memberi peluang kepadanya untuk mengembangkan lagi bakatnya kepada umum.

Terdahulu, drama arahan Shahrul Ezad Mohameddin itu sohor kini dalam Twitter selama beberapa hari selepas ramai memuji jalan cerita dan lakonan hebat para pelakon, terutama Nad Zainal yang menjayakan watak Juweta.

Takdir Yang Tercipta dilakonkan oleh barisan pelakon hebat, Nad Zainal, Nazim Othman, Alvin Chong dan Elvina Mohamad. – K! ONLINE

POPULAR