fbpx

PdPR: Ibu bapa jangan hentam guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Semua pihak tidak boleh menunding jari me­nyalahkan guru dan pihak Kementerian Pendidikan sekiranya pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dilihat kurang berkesan dan terdapat banyak ‘lompong’ dalam sistem pendidikan ketika ini.

Meskipun baru tiga hari dilaksanakan pada sesi persekolahan 2021, pelbagai tohmahan dan cacian dilemparkan ke atas guru apabila ibu bapa mendakwa mereka tidak mengajar tetapi sekadar meminta murid menonton YouTube. Ada juga yang mendakwa PdPR gagal.

Pakar pendidikan dan sosiologi, Anuar Ahmad berkata, semua guru dilatih mengajar secara bersemuka dan tiada seorang pun mempunyai sijil atau ijazah me­ngajar secara PdPR.

“Jadi tidak adil mendakwa guru tidak cekap mengajar dalam PdPR, pandemik Covid-19 pe­ngalaman pertama semua orang,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kesejahte­raan dan Pendidikan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, guru bukan sahaja terpaksa me­nguruskan pelajar dalam talian tetapi mereka turut diperhatikan dan dinilai oleh ibu bapa.

“Setiap saat guru diperhatikan sepanjang PdPR. Tidak mudah menjalankan pengajaran dalam talian dengan 40 orang pelajar. Kalau tak percaya, anda cuba sendiri,” jelasnya.

Justeru katanya, ibu bapa perlu memberi sedikit masa dan ruang untuk para guru sesuaikan diri dengan PdPR.

Ujar Anuar, guru di Malaysia terbukti mempunyai komitmen yang tinggi dan mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran PdPR.

“Kesabaran dan sokongan para ibu bapa akan banyak membantu menguatkan semangat para guru. Semakin kuat sema­ngat para guru, semakin cepat mereka menyesuaikan diri dan semakin cepat anak-anak kita dapat belajar dengan berkesan melalui PdPR,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan senada dengan Anuar kerana cabaran ketika ini adalah semua guru tidak mempunyai pengalaman PdPR sebelum ini.

Katanya, adalah tidak wajar sekiranya semua kesalahan dan kelemahan dalam PdPR diletakkan di atas bahu guru dan Kementerian Pendidikan.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan beberapa kaedah yang mungkin boleh membantu kerajaan mencari inisiatif lain dalam mempelbagaikan sesi pengajaran ketika wabak pandemik Covid-19.

“Saya cadangkan supaya setiap Pejabat Pendidikan Daerah mewujudkan sebuah pusat sehenti khusus untuk mengendalikan PdPR ini.

“Kementerian perlu me­nubuhkan satu pasukan khas mengendalikan pusat ini supaya berfungsi dan dapat membantu menyelesaikan sebarang isu berkaitan PdPR. Jangan wujud pusat tetapi tiada orang jaga dan pantau,” jelasnya.

Selain itu katanya, bagi sekolah-sekolah di pedalaman dan tiada akses internet, guru-guru boleh mengambil inisiatif dengan mencetak sendiri modul dan soalan untuk para pelajar mereka.

“Dengan cara ini, keluarga yang tidak mempunyai peranti atau terhad tidak perlu bimbang kerana anak mereka masih boleh dibekalkan kerja sekolah secara ‘hard copy’,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI