fbpx
MBAPPE (kanan) berjaya meledak dua gol ketika PSG membenam cabaran Montpellier 4-0 pada aksi Ligue 1 awal pagi semalam. – AFP

Mbappe belum buat keputusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARSI – Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe belum membuat keputusan me­ngenai masa depannya bersama pasukan itu meskipun berjaya meledak dua gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Montpellier pada aksi Ligue 1 awal pagi semalam.

Mbappe, 22, mengakui, masih memikirkan sama ada mahu menandatangani kontrak lanjutan baharu bersama PSG memandangkan perjanjian asalnya akan berakhir hujung musim depan.

“Perbincangan sedang dilakukan untuk mencari projek yang sesuai. Saya gembira berada di sini kerana penyokong dan kelab sentiasa membantu saya selama ini.

“Namun, jika saya membuat keputusan untuk menandatanganinya (kontrak), saya akan memberi komitmen jangka masa panjang buat PSG,” kata Mbappe selepas tamat aksi PSG menentang Montpellier di Parc des Princes awal pagi semalam.

PSG tidak berdepan masalah untuk berpesta gol dalam aksi tersebut selepas Montpellier terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang tempoh 71 minit permainan disebabkan penjaga gol mereka, Jonas Omlin dilayangkan kad merah seawal minit ke-19.

Selain dua gol daripada Mbappe pada minit ke-34 dan 63, dua lagi jaringan skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu diperoleh menerusi Neymar dan Mauro Icardi pada minit ke-59 serta 61.

Kemenangan itu menyaksikan PSG berjaya melebarkan ­penguasaan sebagai pendahulu liga dengan kelebihan tiga mata ke atas pencabar terdekat di tempat kedua, Lille. – AGENSI