fbpx

Anggota Rela maut nahas dengan lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan lokasi kemalangan di kilometer 26, Jalan Tampin-Gemas, berhampiran Pejabat Pos Gemencheh, dekat sini semalam.

TAMPIN – Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) maut selepas bertarung nyawa kira-kira sejam susulan terbabit dalam nahas dua kenderaan di kilometer 26, Jalan Tampin-Gemas, berhampiran Pejabat Pos Gemencheh, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, mangsa, R. Venu, 39, dikejarkan ke Hospital Tampin bagi rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital pada pukul 8.10 malam.

Abang mangsa, R. Tamalarasan, 42, berkata, kali terakhir dia bertemu adiknya pada pagi kejadian semasa membelikan sarapan pagi buat mereka yang tinggal di Taman Indah Tampin.

“Adik yang merupakan anak bongsu dari empat beradik tidak menunjukkan apa-apa perubahan dan selain membantu ibu menoreh getah, dia merupakan seorang anggota Rela di daerah Rembau.

“Dia aktif membantu menjaga lalu lintas semasa kenduri, program atau menjaga keselamatan sejak lebih tujuh tahun menyertai Rela mengikut kawannya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tampin, dekat sini, tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab. Wahab berkata, kemalangan berkenaan membabitkan motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa dan sebuah lori tangker tiada muatan.

“Hasil siasatan awal mendapati pemandu lori tanker dalam perjalanan ke Gedok Mas, Gemencheh telah berhenti dilampu isyarat kerana lampu isyarat berwarna merah.

“Tiba-tiba bahagian belakang lori tersebut telah dilanggar oleh sebuah motosikal Honda EX5. Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang motosikal telah di hantar ke Hospital Tampin untuk menerima rawatan,” katanya.

Anuwal berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital dan bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI