fbpx

Yakult bakal bawa pemain muda TFC ke Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMADA (dua dari kiri) dan Rasid (dua dari kanan) mewakili Yakult dan TFC yang menjalinkan kerjasama pembangunan akar umbi bola sepak di pejabat Kuala Terengganu semalam.

PENGELUAR minuman probiotik, Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. (Yakult) terus mengukuhkan tapak sebagai pemain industri Liga Malaysia (Liga M) selepas me­nyuntik tajaan RM380,000 kepada Terengganu FC (TFC).

Pengarah Urusan Yakult, Hiroshi Hamada berkata, pihaknya tertarik untuk menjadi rakan penaja TFC pada musim ini setelah melihat komitmen kelab itu membangunkan program di pe­ringkat akar umbi.

Beliau berkata, kerjasama itu akan membuka jalan buat pemain berbakat TFC mengikut jejak penyerang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak untuk beraksi di negara Matahari Terbit.

“Kami bersetuju untuk menghantar sekurang-kurangnya seorang pemain muda TFC untuk berlatih dan mendapat tempat bersama pasukan di Jepun.

“Jika dilihat, bilangan pemain Thailand dan Vietnam yang memasuki pasaran Liga Jepun semakin meningkat. Oleh itu. Malaysia juga memerlukan lebih ramai Hadi Fayyadh,” katanya selepas menandatangani perjanjian kerjasama dengan TFC di Kuala Nerus kelmarin.

Hamada berkata, peranca­ngan untuk membantu pemain muda Terengganu beraksi di Liga J adalah selaras dengan misi Yakult untuk terlibat dalam industri bola sepak Malaysia terutama dalam pembangunan akar umbi.

Beliau menambah, kerjasama berkenaan juga membolehkan TFC memperoleh sentuhan daripada jurulatih Jepun.

“Barisan jurulatih Jepun itu akan dibawa untuk berkongsi maklumat, idea dan menurun­kan ilmu kepada skuad akademi serta pelapis TFC.

“Pemain pelapis TFC terpilih bukan sahaja akan diterbangkan untuk berlatih di Jepun malah jurulatih Jepun akan berkunjung ke Terengganu untuk menunjuk ajar mereka,” katanya.

Hamada berkata, banyak program telah diatur untuk pasukan bawah 12 tahun (B-12) sehingga B-21 TFC dan beliau berharap pandemik Covid-19 di peringkat global tidak berpanjangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI