fbpx

Inix unjur perolehan RM200 juta selesai pengambilalihan L&S Gloves

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Proses pengambilan L&S Gloves Sdn. Bhd.  (L&S Gloves) oleh Inix Technologies Holdings Bhd. (Inix) yang telah selesai kini bakal memberi peluang kepada Kumpulan untuk menjana perolehan tahunan sebanyak RM200 juta pada tahun ini.

Pemilikan kepentingan sebanyak 51 peratus dalam L&S Gloves itu akan memberi kesan serta merta kepada pendapatan Kumpulan khususnya disumbangkan oleh dua rangkaian pengeluaran syarikat tersebut di Beranang, Selangor.

Menurut Pengarah Eksekutif Inix, Siva Kumar Kalugasalam, penyelesaian daripada pemilikan berkenaan itu akan membolehkan Kumpulan menambah sehingga 12 rangkaian pengeluaran pada tahun ini.

“Nilai tersebut berasaskan kepada pengeluaran kapasiti sebanyak 1.4 bilion sarung tangan getah setahun,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Siva menjelaskan,  perjanjian penjualan saham yang dimuktamadkan ini merupakan langkah seterusnya bagi Kumpulan untuk menceburi bidang pengeluaran sarung tangan getah untuk jangka masa panjang.

“Kami sangat teruja dengan perkembangan ini yang mana pemilikan ini akan membolehkan kami turut sama menguasai industri sarung tangan getah dalam tempoh yang sangat singkat.

“Ia juga memberi peluang kepada kami untuk memperoleh pendapatan daripada dua rangkaian pengeluaran sedia ada untuk menjadikan ia lebih berdaya saing,” jelasnya.

Siva menambah, kumpulan kini dalam proses untuk menambah dua lagi rangkaian pengeluaran menjelang bulan hadapan bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.

“Buat masa ini, pengeluaran baharu ini telah siap 70 peratus dan kami yakin ia akan dapat beroperasi bermula bulan depan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Inix,  Tan Sri Syed Mohd. Yusof Syed Nasir menjelaskan, Kumpulan akan terus membuat pelaburan baharu bagi menambah kapasiti pengeluaran secara berperingkat-peringkat.

“Melihat kepada permintaan pasaran yang semakin bertambah  dan telah melebihi daripada bekalan sedia ada, kami bercadang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran sarung tangan getah.

“Tempahan yang diterima oleh L&S Glove mencukupi sehingga tempoh dua tahun dan kami bercadang untuk menambah kapasiti kepada 14 rangkaian rangkaian dalam tempoh 12 bulan akan datang dengan nilai pelaburan kira-kira RM50 juta,” jelasnya.

Tambah Syed Mohd, Yusof, sebanyak 97 peratus daripada pengeluaran syarikat di eksport ke Asia khususnya ke China dan India.

“Kami berkeyakinan bahawa Inix kini berada pada landasan yang kukuh untuk meningkatkan daya saingnya dan berjaya menembusi pasaran Eropah pada masa depan,” terang beliau.