fbpx

Gambar Exco diguna untuk pinjam wang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENJELASAN Shahrul Zaman di laman sosial Facebook miliknya mengenai individu menyamar beliau dan meminjam wang dari kenalannya.

IPOH – Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya mendakwa terdapat individu menyamar sebagai dirinya untuk meminjam wang daripada kenalan menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, individu tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menggunakan gambarnya pada aplikasi tersebut malah meletakkan nombor telefon miliknya sebagai nombor kedua dalam aplikasi berkenaan.

Katanya, beliau menyedari perkara itu semalam setelah dihubungi rakan yang menerima mesej daripada individu tersebut yang mahu meminjam sejumlah wang.

“Saya kecewa dengan tindakan individu itu yang menyamar sebagai saya untuk meminjam wang. Nombor telefon itu bukan milik saya walaupun menggunakan gambar saya sebagai ‘profile’.

“Saya sangat terkejut apabila diberitahu mengenai perkara itu. Ada lima rakan mendapat mesej sama daripada ‘scammer’ itu dengan dua daripada mereka hampir membuat transaksi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Shahrul Zaman berkata, tindakan individu itu yang menggunakan gambar dan namanya untuk melakukan penipuan telah mencemarkan imej beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup dan pemimpin negeri.

Malah katanya, yang lebih membuatkan beliau kesal apabila individu itu juga menjanjikan projek berkaitan belia dan sukan sekiranya mereka memberi pinjaman wang.

“Laporan polis mengenai penipuan itu telah dibuat rakan yang terlibat di Balai Polis Bercham dan saya dimaklumkan terdapat 20 laporan diterima ke atas nombor telefon tersebut.

“Saya berharap dengan penjelasan ini tiada mana-mana pihak yang terpedaya dengan penipuan individu tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Superintenden Hasbullah Abd. Rahman mengesahkan menerima laporan tersebut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI