fbpx
GAMBAR HIASAN

Pematuhan SOP, jangan ada teraniaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
JAMDI NASIR,TIMBALAN PENGARANG KOSMO!/KOSMO! AHAD.

BERIKUTAN kes baharu Covid-19 yang semakin meningkat, suatu tindakan yang terpaksa kerajaan putuskan ialah menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri hingga 26 Januari ini.

Ada pandangan yang percaya PKP 2.0 itu akan dilanjutkan lagi kepada sebulan atau mungkin lebih daripada itu memandangkan jumlah kes baharu sekarang amat tinggi iaitu sehingga mencecah 4,000 kes sehari.

Jika semasa PKP 1.0 bermula 18 Mac tahun lalu yang mencatat kes harian 117 ketika itu dan kita berjaya melandaikan jumlah jangkitan dengan paling tinggi pun 277 kes (4 Jun). Bayangkan berapa lama untuk kita menurunkan kadar tersebut dalam keadaan sekarang.

Berikutan pelaksanaan PKP itu, maka kita lihat suasana pergerakan kembali terhad apabila urusan keluar dari rumah hanya kepada tujuan membeli barangan keperluan dan kepada yang bekerja pula terhad sektor-sektor tertentu.

Begitu juga larangan kepada kedai-kedai yang dibuka terhad kepada barangan perlu seperti kedai makan, kedai runcit selain ada sedikit kelonggaran apabila kedai barangan elektrik, bengkel kereta dan dobi dibenarkan.

Cuma apabila kedai emas yang turut dibenarkan dibuka sukar untuk kita mencari alasannya. Ada yang berpendapat, mungkin premis barangan kemas itu penting kerana merupakan salah satu tempat ‘terapi jiwa’ wanita!

Berbalik kepada PKP, kita sedia maklum ia menjurus kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kepada semua orang. Malangnya, dalam pelaksanaan undang-undang itu, ada pihak menggunakan kuasa yang ada secara melampau tanpa budi bicara dan tolak ansur.

Baru-baru ini, penulis agak terkesan apabila membaca insiden yang tersebar di media sosial seorang remaja yang bekerja di sebuah kedai makan disaman RM1,000 atas kesalahan memakai pelitup muka di dagu.

Dinyatakan ketika kejadian, tiada pelanggan ketika itu kerana kedai hampir tamat waktu operasi, manakala lebih menyedihkan bagaimana dia yang kematian bapa, ibu pula sedang sakit dan cuma bergaji RM40 sehari mampu membayar denda tersebut.

Penulis difahamkan kes itu telah selesai. Waima apa cara penyelesaiannya, tindakan mengeluarkan saman biarlah berpada bukan asal salah terus saman.

Begitu juga dengan isu golongan musafir semasa PKP ini khususnya kalangan pemandu e-hailing, penghantar makanan dan pemandu lori yang sukar untuk menunaikan solat apabila pintu pagar masjid dan surau dikunci dek peraturan dan pematuhan SOP.

Rasanya tidak salah jika ada sedikit kelonggaran, dibenarkan mereka masuk ke kawasan surau atau masjid dan diberi sedikit ruang meskipun di anjung bagi mereka menunaikan tanggungjawab sebagai individu Islam ketika keluar mencari rezeki.

Ada insiden ‘pengawal’ sebuah masjid yang ternama, cantik dan luas kawasannya enggan membenarkan golongan musafir masuk semata-mata tidak membawa sejadah. Apakah kerana sejadah, ‘pengawal’ tadi sanggup membiarkan saudara se-Islam terlepas solat mereka.

Oleh itu, dalam pelaksanaan pematuhan SOP ini, sewajarnya tindakan yang diambil ada pertimbangan tersendiri. Penguat kuasa bukanlah robot, mereka juga manusia. Ada hati, akal dan perasaan. Jangan kerana SOP, ada pihak lain yang teraniayai.