fbpx

Felda beli 41 juta saham FGV di pasaran terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) terus merancakkan usahanya untuk mengambil alih FGV Hol­dings Bhd. (FGV) dengan membeli 41 juta saham FGV di pasaran terbuka.

FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia  berkata, transaksi itu dilakukan pada 18 Januari lalu pada harga RM1.30 sesaham, menjadikan nilai pembelian mencecah RM53.3 juta.

Pada Khamis dan Jumaat lalu, Felda membeli lebih 27.14 juta saham FGV, juga menerusi pasaran terbuka pada nilai RM1.29 sesaham.

Ini menjadikan jumlah ke­seluruhan saham FGV yang dibeli Felda di pasaran terbuka berjumlah lebih 68 juta dengan melibatkan nilai mencecah RM88.3 juta.

Melalui proses pembe­lian tersebut, misi Felda untuk mengambil alih kepentingan FGV semakin hampir.

Pada 12 Januari lalu, Felda mengemukakan dokumen berhubung tawaran pengambilalihan mandatori tidak bersyarat bagi semua baki saham FGV (tidak termasuk saham perbendaharaan pada pertimbangan RM1.30 sesaham.

Tawaran tersebut terbuka untuk penerimaan sehingga pukul 5 petang pada 2 Februari 2021, melainkan pengumuman lanjutan dibuat oleh penasihat prinsipal, Maybank Investment Bank Bhd. sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh tutup.

Selain itu, Pada 8 Disember lalu, Felda telah meningkatkan pegangannya dalam FGV kepada 35.12 peratus menerusi pengambilalihan 13.88 peratus saham FGV dengan nilai RM658 juta.

Pemilikan itu dibuat menerusi pembelian keseluruhan kepen­tingan FGV yang dipegang Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) KWAP sebanyak 6.1 peratus dan 7.78 peratus lagi daripada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd.

Pada waktu itu, Felda dan pihak yang bertindak bersama (PAC) dengannya dilaporkan ­te­lahpun menguasai 50.49 peratus pegangan dalam FGV.