fbpx
Nor KAMILATUL ALIFAH (tiga dari kiri) bersama ibunya (tiga dari kanan) dan adik-beradiknya yang lain.

Kisah pilu Covid-19 lapan sekeluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Tiada siapa dapat membayangkan kesedihan dialami enam beradik apabila bapa mereka disahkan mening­gal dunia akibat Covid-19 semalam, manakala ibu mereka kini dirawat Hospital Sungai Buloh akibat jangkitan yang sama.

Lebih menyedihkan, lima daripada enam beradik itu ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Ra­watan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Maeps, Serdang, Selangor bagi menjalani rawatan selepas disahkan positif Covid-19.

Manakala, seorang lagi ahli keluarga mereka kini menja­lani kuarantin kendiri di rumah mereka­ di Kajang, Selangor.

Nor Kamilatul Alifah Mohamad Kamil, 26, yang juga anak sulung berkata, dia mendapat berita pemergian bapanya, Mohamad Kamil Ghazali, 51, kira-kira pukul 11.15 malam semalam.

Dia yang dihubungi Kosmo! menerusi aplikasi sosial Whats­App berkata, bapanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh sejak 1 Januari lalu sebelum diberikan bantuan pernafasan sehari kemudian.

“Kami tak sangka arwah akan pergi selamanya kerana sebelum ke hospital dia baik-baik sahaja.

“Sedih kerana tidak dapat mengurus dan memberi penghormatan terakhir kepada ayah, namun ada hikmahnya supaya kami tidak meratapi pemergiannya,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Nor Kamila­tul berkata, ibunya kini berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya, dia dan empat adik-beradiknya dibawa ke PKRC Maeps sejak Rabu lalu bagi menjalani rawatan.

“Dua adik lelaki ditempatkan di wad kuarantin lelaki, manakala­ saya bersama dua lagi adik pe­rempuan berusia 15 dan 19 tahun ditempatkan di wad wanita.

Sebelum ini, seorang pengguna­ TikTok, Fakhrul Aiman yang juga pesakit Co­vid-19 di PKRC Maeps berkongsi video memaparkan adik bongsunya, Mohamad Nor Atho’ullah dibantu­ pesakit lain mengutip derma kilat dalam kalangan penghuni di pusat itu.

Rakaman video itu tular di media sosial sejak semalam dan rata-rata netizen melahirkan rasa simpati terhadap nasib menimpa kanak-kanak berkenaan.

Difahamkan juga, satu ­majlis bacaan Yasin dan tahlil turut diadakan dalam kalangan peng­huni di pusat kuarantin itu malam tadi untuk dihadiahkan kepada arwah ayahnya. -K! ONLINE