fbpx

Azman dilantik Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Majlis pemakaian pangkat kepada Azman (tengah) yang disempurnakan Alexander (kiri) dan timbalannya, Datuk Rosol Wahid (kanan).

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan pelantikan Pengarah Penguat Kuasa, Bahagian Penguat Kuasa baharu, Azman Adam, 49, berkuat kuasa 5 Januari lalu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Azman telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak 28 tahun lalu sebagai Penolong Pegawai Penguat Kuasa Gred N27 sehingga tahun 2000.

Katanya, Azman pernah diberikan tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Sarawak selama empat tahun bermula tahun 2000 sehingga 2002 dan seterusnya bertugas di Pejabat KPDNHEP Terengganu pada tahun 2004 di atas kenaikan pangkat.

“Pengalamannya dalam bidang penguatkuasaan dengan memikul pelbagai tanggungjawab di beberapa negeri seperti Ketua Pegawai Penguat Kuasa Selangor sebelum berkhidmat di Ibu Pejabat Putrajaya sebagai Timbalan Pengarah Pencegahan.

“Azman memiliki pengalaman luas dan mempunyai daya kepimpinan yang terbukti terutamanya dalam bidang penguatkuasaan,” jelasnya.

Alexander berkata, dalam bidang kemasyarakatan, Azman pernah diberikan peranan yang penting di dalam beberapa portfolio di peringkat antarabangsa, kebangsaan dan di peringkat kementerian.

Katanya lagi, pelbagai pengiktirafan telah diterima antaranya anugerah Sijil Penghargaan (TSSC) oleh Sultan Selangor, Sijil Penghargaan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Sijil Penghargaan Ketua Setiausaha KPDNHEP dan penerima Anugerah Pegawai Contoh KPDNHEP Terengganu.

“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau pernah menerima anugerah High Performance Award, Maybank Finance Berhad pada 1992 sebelum menerima sebanyak lima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPDNHEP pada tahun 1998, 2005, 2007, 2009 dan 2011.

“Saya dan warga kementerian memberi sokongan dan kepercayaan sepenuhnya kepada beliau untuk menggalas amanah dan jawatan ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI