fbpx

253 ditahan ingkar arahan PKP semalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PETALING JAYA – Seramai 253 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 252 orang telah dikompaun manakala seorang direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (115), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (88), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (23).

“Kesalahan lain ialah aktiviti pusat hiburan (16) dan gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (11),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM semalam telah membuat 47,237 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP Pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 2,733 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 12,254 anggota telah membuat pemantauan di 3,416 pasar raya, 4,561 restoran serta 1,719 penjaja, 1,335 kilang, 3,169 bank dan 605 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 989 terminal pengangkutan darat, 205 terminal pengangkutan air serta 106 terminal pengangkutan udara,” katanya.

Sementara itu, katanya, seramai 18 pendatang asing tanpa izin dan tiga tekong serta tujuh buah kenderaan darat ditahan menerusi Ops Benteng.

Ujarnya, sebanyak 111 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan semalam melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI