fbpx

Pegawai imigresen mengaku tidak bersalah terima rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yusrazif (kiri) mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM15,000 bagi melepaskan dua warga asing di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai imigresen yang ditahan dalam Ops Selat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM15,000 bagi melepaskan lima warga asing melalui kaunter imigresen di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) tahun lalu.

Tertuduh Yusrazif Wan Yusoh, 42, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima tertuduh didakwa sebagai pegawai imigresen Gred KP32 telah menerima rasuah berjumlah RM15,000 melalui lima transaksi berbeza daripada dua individu yang mana mereka mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh yang melibatkan pelepasan seorang warga Filipina dan empat warga China.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Alliance Islamic Bank Berhad, Cawangan Putrajaya Presint 3, Putrajaya antara 28 Oktober hingga 16 November 2020.

Bagi kesemua kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nor Diana Nor Azwa mencadangkan jumlah ikat jamin RM100,000 bagi kelima-lima pertuduhan terhadap tertuduh termasuk syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan.

Bagaimanapun Yuzrazif yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan tertuduh merupakan penanggung utama keluarga.

“Tertuduh mempunyai empat anak masih kecil, justeru saya mohon jumlah ikat jamin dikurangkan kepada RM50,000 bagi kesemua pertuduhan,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin RM55,000 bagi kesemua pertuduhan selain menetapkan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Tarikh 18 Februari ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen lain di hadapan Hakim Rozina Ayob, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima RM215,990 daripada seorang individu yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut di bank yang sama antara 27 Februari 2019 dan 13 November 2020 dan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM5 juta atau mana lebih tinggi.

Hakim Rozina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin mengguna pakai ikat jamin yang sama dengan lima pertuduhan terdahulu dan menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI