fbpx

Feri laju Pulau Pinang tingkatkan risiko Covid-19 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CAP mendakwa tiada penjarakan fizikal di dalam feri bot laju Pulau Pinang dan bas shuttle perkhidmatan itu.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyuarakan kebimbangan peningkatan risiko penularan Covid-19 dalam kalangan pengguna perkhidmatan feri bot laju Pulau Pinang apabila dikatakan tidak mengetatkan prosedur operasi standard (SOP).

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, ia berikutan tiada kawalan penjarakan fizikal di antara penumpang sama ada di dalam feri bot laju mahupun ketika mengguna perkhdimatan bas shuttle yang disediakan.

“Di dalam feri bot laju, penumpang perlu duduk bersebalahan dalam keadaan ruang tertutup dan suasana pengudaraan pendingain hawa.

“Ia berbeza dengan feri ikonik sebelum ini yang mempunyai ruang luas dan terbuka di samping terdapat penanda dan penjarakan di antara bangku serta tempat beratur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkhidmatan feri bot laju bermula 1 Januari lalu disediakan kepada pengguna pejalan kaki bagi menggantikan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang.

Perkhidmatan itu akan digunakan secara sementara dalam tempoh interim sehingga penghujung Jun 2022 sebelum digantikan dengan perkhidmatan katamaran atau bas air.

Sementara itu, Mohideen berkata, pihaknya mendapati tempat duduk feri bot laju tidak sesuai untuk mereka bertubuh besar apabila mempunyai ruang setiap tempat duduk sepanjang 40 sentimeter sahaja.

“Ia juga tidak sesuai kepada golongan kurang upaya kerana mempunyai banyak halangan sama ada untuk menuju atau keluar dari bot laju dan terminal.

“Walaupun penumpang berkerusi roda akan dibantu oleh pihak Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang untuk menuju ke bot, tetapi ia tidak menepati Kod Amalan Kemudahsampaian Pengguna Kurang Upaya Malaysia seperti yang diperlukan oleh sesebuah stesen pengangkutan awam,” katanya lagi.

Perkhidmatan feri bot laju menghubungkan Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth, Seberang Perai dengan Terminal Swettenham Pier Cruise di sini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI