fbpx

Hotel bajet jadi ‘port’ edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
A. Anbalagan (tengah) pada sidang akhbar rampasan dan tangkapan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di IPD Balik Pulau di sini sebentar tadi. -Foto oleh NOOR HASLIZA NUSI

BALIK PULAU – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan pelbagai jenis dadah di daerah Barat Daya Selasa lalu selepas menjadikan penginapan di sebuah hotel bajet di Bayan Lepas di sini sebagai lokasi pengedaran dadah sejak tiga bulan lalu.

Operasi bersiri yang dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPDBD) mulai pukul 11 pagi itu telah menahan sembilan suspek terdiri enam lelaki dan tiga perempuan tempatan.

Antara yang diberkas termasuklah pasangan suami isteri dan dua beradik lelaki.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan berkata, tangkapan pertama ke atas empat suspek termasuk pasangan suami isteri berusia 31 dan 29 tahun dilakukan di sebuah bilik hotel bajet dan menjumpai bungkusan dadah disyaki heroin dan syabu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati hotel berkenaan dijadikan sebagai lokasi pengedaran dadah kepada pelanggan di sekitar daerah ini sejak tiga bulan lalu

“Mereka menyewa bilik hotel dalam tempoh yang lama bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Pelanggan akan datang ke situ untuk urusan pembelian dadah pada harga RM100 bagi sepeket kecil syabu.

“Susulan penahanan suspek terbabit, telah membawa kepada tangkapan tiga lagi rakan mereka iaitu seorang pemuda dan dua gadis di sebuah bilik berlainan hotel yang sama. Di situ, kita merampas bungkusan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 50.12 gram,” katanya pada sidang akhbar di IPD Balik Pulau di sini tadi.

Anbalagan memberitahu, hasil soal siasat ke atas ke semua suspek terbabit telah membawa polis ke sebuah pondok di Jalan Sungai Batu, Teluk Kumbar pada pukul 6.30 petang.

“Di situ, kita menahan dua lelaki berusia 39 dan 27 tahun dan merampas bungkusan syabu dan pil Eramin 5 dengan anggaran jumlah RM31,725.

“Suspek mempunyai kaitan dengan dua serbuan di hotel bajet terbabit dan hasil ketiga-tiga serbuan tersebut, kita berjaya merampas dadah dengan nilai keseluruhannya adalah RM44,472.85,” jelasnya.

Menurutnya, lapan suspek mempunyai rekod jenayah lampau dengan maksimum 17 kes seorang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI