fbpx
Al-Sultan Abdullah berkenan meninjau situasi bencana banjir di sekitar negeri Pahang melalui udara menggunakan helikopter jenis EC725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini.

Al-Sultan Abdullah berkenan membuat tinjauan udara banjir di Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meninjau situasi bencana banjir di sekitar negeri Pahang melalui udara menggunakan helikopter jenis EC725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Baginda berangkat dari Pengkalan Udara TUDM, Kuantan, Pahang kira-kira pukul 9 pagi tadi, diiringi Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Al-Sultan Abdullah dijadualkan mendarat di Kuala Lipis untuk menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan Clifford dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa.

Seramai 95 mangsa banjir daripada 36 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Clifford, manakala 192 daripada 57 keluarga ditempatkan di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa.

Selepas lawatan ke Kuala Lipis, baginda dijadualkan mendarat di Mentakab dan Temerloh untuk menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab dan PPS Dewan Majlis Perbandaran Temerloh.

Seramai 136 mangsa banjir daripada 28 keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab, manakala 114 daripada 30 keluarga ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh.

Selain menyantuni mangsa banjir, Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir bagi meringankan beban yang ditanggung.

Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ini mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi baginda terhadap mangsa banjir dan golongan yang memerlukan bantuan.

Al-Sultan Abdullah mengajak seluruh rakyat bersama baginda mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan sehingga mengorbankan nyawa dan harta benda.-K! ONLINE

POPULAR