fbpx

Penduduk rayu bekalan makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan penyelamat membantu membawa penduduk di Ladang Bukit Cantik, Kahang, Kluang yang terkandas akibat banjir.

KLUANG – Walaupun hujan tidak turun sejak semalam dan keadaan banjir beransur surut, namun penduduk terutamanya dari perkampungan Orang Asli dan pekerja ladang di Kahang kini berdepan dengan masalah kekurangan bekalan makanan dan keperluan harian.

Salah seorang penduduk di Ladang Bukit Cantik, Nurul Ain Che Salleh, 34, berkata, penduduk kini terpaksa mengikat perut untuk berjimat cermat kerana laluan keluar masuk ke ladang mereka dinaiki air banjir.

Katanya, penduduk yang mahu menyeberangi jalan berkenaan kini terpaksa menggunakan perkhidmatan bot disediakan penduduk Orang Asli berdekatan dengan kadar caj RM30 sekepala.

“Kami memohon supaya pihak berkuasa memandang nasib penduduk estet dan perkampungan asli di Kahang ini kerana kami berada di kawasan pendalaman.

“Air Sungai Kahang melimpah sejak kelmarin dan walaupun sudah reda tetapi untuk surut ia akan mengambil masa sehingga tiga minggu lamanya jadi ada dalam kalangan kami terpaksa mencatu bekalan makanan dan ada keluarga yang mempunyai anak kecil kehabisan lampin pakai buang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, terdapat seramai 80 orang terkandas di Ladang Bukit Cantik iaitu 25 orang sudah berkeluarga, 20 orang bujang selain 35 rakyat asing termasuk warga Indonesia.

Dalam pada itu, Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Ahmad Murad Saat berkata,  hari ini pihak berkuasa menjalankan Pergerakan Misi Bantuan Orang Asli di Kampung Puchur, Sungai Peroh dan Berasau.

“Misi ini membabitkan kerjasama pegawai dan anggota serta kemudahan aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Dalam misi ini kami menghantar bantuan bekalan makanan kering dengan menggunakan bot-bot jabatan dan pasukan berkenaan,” katanya.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI