fbpx

Kaedah pendigitalan tambah baik piawaian halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifli (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Kuala Slim hari ini. - Foto oleh ZULFACHRI ZULKIFLI

TANJUNG MALIM – Kerajaan akan memperkenalkan kaedah pendigitalan bagi menambah baik piawaian halal sesuatu produk di pasaran dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kaedah itu merupakan sebahagian perkara yang telah dibincangkan dalam prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan halal produk termasuk daging import.

Katanya, langkah tersebut juga diyakini dapat mengelak berlakunya penipuan label halal seperti mana didakwa terjadi dalam isu kartel daging yang diimport.

“Sudah ada perbincangan isu yang berkait dengan halal dan dalam masa terdekat kita akan melancarkan SOP dan garis panduan halal di samping beberapa tindakan lain yang akan dilihat dengan lebih berkesan.

“Ini termasuk penggunaan pendigitalan dalam kod bar halal untuk kita tengok status halalnya. Kita sedang buat satu mekanisma dan persediaan ke arah itu dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai akta baharu bagi pensijilan halal khusus untuk isu kartel daging, Zulkifli Mohamad berkata, pihaknya akan melihat keperluan perkara itu terlebih dahulu.

“Saya perlu lihat yang terdahulu apa SOP dan akta yang patut dipinda. Bagaimanapun, penegasan daripada kami adalah melancarkan dalam masa terdekat SOP dan garis panduan halal,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, pihaknya menyambut baik cadangan membawa bersama wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses audit loji penyembelihan di luar negara. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI