fbpx

31 PATI gagal balik kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada PATI warga Indonesia yang ditahan ketika cuba pulang ke negara asal dengan menggunakan laluan tidak sah di daerah Kota Tinggi serta daerah Pengerang, Johor awal pagi tadi.

PETALING JAYA – Tindakan licik sekumpulan warga asing yang cuba pulang ke negara sendiri menggunakan laluan tidak sah akhirnya memakan diri apabila kesemua mereka berjaya ditahan menerusi Ops Benteng di daerah Kota Tinggi serta daerah Pengerang, Johor awal pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia menerusi satu kenyataan berkata, kesemua 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia itu ditahan ketika cuba pulang ke negara asal kira-kira pukul 12.25 tengah malam, 1.45 pagi dan 8.55 pagi.

“Mereka yang ditahan berusia empat hingga 47 tahun yang terdiri daripada 21 lelaki, 7 wanita, seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan ditahan di pesisir Pantai Sungai Rengit, Kampung Punggai dan Kampung Kuala Sungai Punggai susulan risikan yang dilakukan.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM48,297.67 melibatkan wang tunai matawang Ringgit Malaysia, matawang Rupiah Indonesia, telefon pintar, barangan kemas serta jam tangan pelbagai jenama,” katanya.

Jelasnya, kesemua PATI seterusnya ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan serta saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia manakala laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

“Tentera Darat Malaysia akan sentiasa mengawal keselamatan dan kedaulatan daratan negara dengan bekerjasama dengan agensi keselamatan lain bagi mengekang aktiviti PATI termasuk sebarang aktiviti pelanggaran undang-undang,” tegasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI