fbpx

Cipta miniatur ubati rindu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELBAGAI karakter miniatur yang dihasilkan oleh Nur Izzati dengan menggunakan tanah liat polimer.

RINDU untuk kembali belajar di kampus seperti biasa,” itu luahan jujur Nur Izzati Mohamad Azizi, 22, pelajar jurusan fizik gunaan di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kepada iGen baru-baru ini.

Sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu, dia dan rakan sepengajian yang lain mengikuti sesi pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian di rumah sehingga kini.

Bagi mengubati kerinduan kepada kampus kerana belum berpeluang kembali ke universiti, Nur Izzati yang mempunyai kemahiran membuat miniatur meluahkannya dengan menghasilkan replika mini bangunan Canselori USIM.

Nur Izzati mengakui menghasilkan miniatur bangunan Canselori itu amat mencabar kerana ia berkonsepkan replika bangunan.

“Ini kali pertama saya melakukan miniatur berbentuk bangunan atau monumen. Jadi, saya mengambil masa selama lima hari untuk menyiapkan miniatur ini.

“Bangunan Canselori menjadi pilihannya bagi ‘mengubat rindu’ kerana ia sememangnya amat sinonim dengan USIM selain mempunyai reka bantuk menarik,” katanya.

Minat Nur Izzati terhadap seni menghasilkan miniatur menggunakan tanah liat polimer (polymer clay) sebenarnya timbul semasa di sekolah menengah.

NUR IZZATI menunjukkan miniatur bangunan Canselori USIM yang dihasilnya berikutan terlalu rindu untuk kembali ke kampus.

Anak keempat daripada lapan beradik itu mula mempelajari teknik dan kemahiran seni kreatif ini menerusi video di YouTube sahaja.

“Selepas tamat tingkatan lima, saya kumpul duit daripada bekerja sambilan untuk membeli bahan-bahan bagi menghasilkan miniatur.

“Bahan utamanya iaitu polymer clay yang tidak terlalu mahal harganya sekitar RM30 hingga RM50 mengikut saiz,” terangnya.

Dia memaklumkan, pada peringkat awal dia banyak membuat miniatur berbentuk makanan dan figura karakter kartun. Dia kemudian berkongsi miniaturnya dalam Instagram.

Jelasnya, dia tidak menyangka sama sekali hasil perkongsian berkenaan ramai yang berminat dan ingin menempah miniatur untuk dijadikan barang hiasan dan rantai kunci.

Bagaimanapun, disebabkan keterbatasan masa kerana komitmen sebagai pelajar universiti, dia mengambil keputusan untuk tidak lagi menerima tempahan.

“Saya selesa untuk menjadikan kemahiran menghasilkan miniatur ini sebagai hobi buat masa sekarang.

“Ini kerana, saya merasakan lebih lebih puas apabila berjaya hasilkan pelbagai rekaan miniatur yang lebih mencabar dan menarik,” ujarnya.

Di negara ini, kraf tangan berasaskan miniatur masih kurang menonjol berbanding kesenian lain, namun ia mempunyai potensi yang besar terutamanya dari segi permintaan.

Nur Izzati amat menggalakkan sesiapa yang berminat dengan seni miniatur untuk menjadikan ia sebagai hobi dan mendapatkan pendapatan sampingan.

Tambahnya lagi, hobi berkenaan tidak memerlukan belanja yang tinggi kerana dengan modal kurang RM100 sudah boleh memiliki satu set polymer clay dan peralatan sampingan bagi menghasilkan 50 miniatur.

“Dengan polymer clay ini kita boleh hasilkan pelbagai bentuk miniatur mengikuti kreativiti masing-masing dan saiznya boleh dipelbagaikan. Miniatur yang telah siap akan dibakar di dalam ketuhar pada suhu antara 100 hingga 110 darjah Celcius selama lebih kurang lima minit,” jelasnya.

Untuk memahirkan diri dalam menghasilkan miniatur, Nur Izzati berkata, individu hanya mengambil sedikit masa untuk mempelajarinya jika mempunyai minat yang tinggi.

Selain memiliki kreativiti menghasilkan miniatur, Nur Izzati juga berbakat menghasilkan lukisan doodle (lakaran) dan komik online.

“Selepas kejayaan menghasilkan bangunan Canselori USIM, saya menyimpan hasrat untuk menghasilkan miniatur Istana Negara pula jika mempunyai masa selepas ini,” katanya.
Bagi yang ingin melihat lebih dekat miniatur-miniatur yang dihasilkan Nur Izzati, sila ikuti akaun Instagram Nur Izzati @nurizzatiazzi atau saluran YouTube Nur Izzati Azizi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI