fbpx

Anjing barang kes hadir, tertuduh tidak hadir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wakil JPV membawa anjing yang menjadi mangsa penganiayaan oleh pemiliknya di Mahkamah Sesyen Butterworth, Seberang Perai hari ini.

SEBERANG PERAI – Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang pekerja sambilan lelaki kerana tidak hadir bagi berdepan pertuduhan kerana menganiaya anjing peliharaannya pada Mac tahun lalu.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, pihaknya dimaklumkan tertuduh berusia 51 tahun tidak dapat hadir kerana terlibat kemalangan jalan raya semalam dan mengalami kecederaan namun memberitahu akan menghantar wakilnya.

Bagaimanapun, wakilnya juga gagal hadir menyebabkan Pegawai Pendakwa Roziman Awang Tahrin memohon mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atas tertuduh.

Hakim Noor Aini Yusof kemudiannya membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 4 Februari depan.

Lelaki itu dijangka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang jika didapati bersalah boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, anjing berkenaan sebagai barang kes turut dibawa ke mahkamah tersebut oleh pihak JPV.

Dalam kejadian pada 16 Mac tahun lalu, tertuduh dipercayai menganiaya anjing peliharaannya dengan memukul, mencekik dan melemparkan haiwan itu ke dinding hingga mengalami kesakitan di rumahnya di Taman Sentosa, Nibong Tebal.

Kejadian kira-kira pukul 11. 25 pagi itu disedari jiran tertuduh yang turut merakam video dan melaporkan kepada JPV.

Wakil JPV kemudiannya telah ke lokasi kejadian bagi siasatan lanjut dan menyelamatkan anjing baka tempatan berwarna putih itu. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI