fbpx

Teknologi UV basmi kuman di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sistem pengurusan bagasi KLIA dijangka bertambah baik dan selamat dengan penggunaan teknologi sinar UV.

SEPANG – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan memperkenalkan teknologi pembasmian kuman di bagasi menggunakan ultraviolet (UV) sebagai langkah keselamatan terbaharunya dalam membendung penularan wabak Covid-19.

Menerusi langkah tersebut, mentol UV akan dipasang di dalam terowong tertutup di sistem pengendalian bagasi (BHS) dan akan membasmi kuman secara automatik semasa bagasi melalui sistem penghantar.

Langkah keselamatan terbaharu itu akan memberikan jaminan keselamatan yang lebih baik buat penumpang.

Mohd. Shukrie

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh, teknologi itu digunakan kerana gelombang UV terbukti dapat membasmi pencemaran permukaan yang berpunca daripada kulat dan bakteria secara efektif.

“Adalah penting bagi kami terus berusaha memastikan keselamatan, lebih-lebih lagi dengan peningkatan jumlah penumpang baru-baru ini.

“Kami sedang memasang empat terowong UV dan berharap ia dapat mengurangkan risiko daripada pencemaran mikrob melalui udara bukan sahaja buat penumpang, tetapi juga bagi kakitangan yang mengendalikan bagasi,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohd. Shukrie berkata, KLIA juga sedang menjalani proses peningkatan BHS supaya dapat menampung kapasiti penumpang yang lebih besar secara efisien sebagai persediaan
apabila perjalanan udara kembali normal.

“Terowong pembasmian UV adalah ciri kekal BHS yang dipertingkatkan secara keseluruhan.

“Penerokaan teknologi baharu dan amalan global terkini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memastikan perjalanan penumpang adalah selamat dan lancar,” katanya.

BHS di KLIA telah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk di peringkat antarabangsa dan pada tahun ini, inisiatif peningkatan penyelenggaran sistem takal penghantar BHS telah menerima Anugerah Emas di Malaysian Productivity Corporation (MPC) Regional Innovation Showcase Team Excellence (RISTEx) 2020.

Inisiatif itu turut merangkul Anugerah 5 Bintang dan disenaraikan sebagai 20 Sektor Perkhidmatan Terbaik di Pameran dan Persidangan Inovasi & Produktiviti Tahunan MPC 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI