
Selamat datang tahun 2021, selamat tinggal tahun duka lara. Tahun ini penuh harapan buat kita semua selepas melalui segala pancaroba sepanjang 2020 akibat penularan Covid-19.
Harapan besar seluruh dunia termasuk Malaysia tahun ini adalah dapat memerangi pandemik itu melalui suntikan vaksin Covid-19.
Ia bagaikan sinar baharu yang diharapkan mampu mencegah jangkitan virus itu sekali gus membolehkan penduduk dunia kembali menjalani kehidupan normal tanpa rasa takut lagi.
Kejayaan itu juga akan membangkitkan semula kehidupan dan ekonomi rakyat serta negara. Mereka yang dibuang kerja dapat kembali bekerja dan perniagaan yang ditutup boleh beroperasi semula.
Malaysia bakal menerima 12.8 juta dos bekalan vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal, Prizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat. Ketika ini, jumlah penduduk dianggarkan 32.69 juta.
Negara turut mendapatkan vaksin syarikat farmaseutikal, AstraZeneca melalui rundingan di bawah fasiliti COVAX sekali gus memperoleh keseluruhan jaminan bekalan 40 peratus. Bekalan pertama akan dibuat suku pertama tahun ini.
Harapan lain yang ditunggu-tunggu adalah keputusan permohonan skim i-Sinar sama ada lulus atau gagal. Semakan status boleh dilakukan mulai 4 Januari ini. Jika cukup syarat, pasti diluluskan.
Wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ini penting terutama golongan yang terkesan akibat Covid-19 khususnya mereka yang dibuang kerja.
Skim i-Sinar bagaikan sinar harapan kepada golongan ini untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan menggunakan wang itu ke arah kebaikan seperti dijadikan modal perniagaan.
Selain itu, ibu bapa pula pastinya berharap sesi persekolahan yang dijadualkan dibuka semula pada 20 Januari ini berjalan lancar setelah berbulan-bulan anak mereka terpaksa belajar secara online.
Pelajar pun tidak sabar-sabar untuk ke sekolah bertemu guru dan rakan-rakan. Tahun ini pula mereka boleh memilih untuk memakai kasut hitam atau putih.
Bagi penduduk Lembah Klang, semuanya berharap agar tiada lagi pencemaran sumber air mentah berlaku.
Kita berharap empat unit dron yang dibeli Kerajaan Negeri Selangor bagi memantau sungai serta mencegah kegiatan pencemaran air akan mencapai objektifnya.
Kilang haram berhampiran sungai yang mahu dirobohkan, harap-harapnya sudah tiada lagi tahun ini.
Yang pasti, penjawat awam Gred 56 ke bawah akan menerima Bantuan Khas Kewangan bernilai RM600 bulan ini dan 8.1 juta orang akan menerima Bantuan Prihatin Rakyat antara RM350 hingga RM1,800 secara berperingkat.
Nelayan, petani, pesawah dan golongan-golongan lain turut menikmati faedah. Diharapkan tahun 2021 akan memberi lebih sinar kepada seluruh rakyat selepas kita semua melalui tahun yang penuh pancaroba.














