fbpx

Dividen: Bank Rakyat di landasan tepat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Walaupun diuji pandemik Covid-19 dan pelaksanaan moratorium bayaran balik pinjaman, Bank Rakyat dilihat masih di landasan yang tepat untuk mengekalkan prestasi bayaran dividen buat ahlinya.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd. Rani Lebai Jaafar berkata, rekod prestasi sebelum ini memperlihatkan keupayaan bank koperasi itu dengan kejayaan memberi dividen berjumlah dua digit untuk tempoh 21 tahun.

“Sebagaimana kita tahu, ketika pandemik melanda semua bank memberi moratorium yang besar. Setiap moratorium yang diberi mengurangkan keuntungan.

“Tiada siapa yang jangka pandemik (berlaku) tahun ini. Setakat hari ini Bank Rakyat masih di landasan yang betul. Ya, kami terkesan (dari segi) keuntungan. Selepas pengumuman akaun terakhir dan melalui proses-prosesnya, kami akan umumkan berapa dividen,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas Majlis Pelancaran Visi dan Misi Baharu Bank Rakyat yang diadakan secara maya semalam.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan.

Dalam majlis tersebut, Bank Rakyat melancarkan visi dan misi baharunya yang akan memacu institusi itu mencapai aspirasi Bank Rakyat 2025.

Visi baharu itu ialah ‘Bank Koperasi Islam Progresif No. 1 Di Malaysia’ manakala misi mereka adalah untuk ‘Memacu Kemakmuran Ekonomi Anggota, Pelanggan dan Negara Bangsa’.

Bagi tahun kewangan 2019, Bank Rakyat memberikan pulangan dividen sebanyak 14 peratus.

Dalam pada itu, Abd. Rani turut tidak menolak kemungkinan penerbitan saham baharu Bank Rakyat, namun tegasnya, ia perlu melalui proses penilaian yang diperlukan terlebih dahulu.

“Modal dibenarkan Bank Rakyat adalah RM3 bilion, setakat 2019 kita sudah keluarkan RM2.99 bilion. Memang ada permintaan, (namun) kita perlu lalui prosesnya.

“Pihak berwajib akan lihat adakah Bank Rakyat memerlukan modal itu? Setakat ini Bank Rakyat ada RM17 bilion rizab, kapasiti kami besar. Modal berbayar kita hampir 23 peratus dan kami ada lebih lima juta pelanggan aktif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI