TERGANGGU dengan sampah pelitup muka yang terlalu banyak ekoran gelombang pandemik Covid-19 telah memberi idea kepada Kim Ha-neul untuk menghasilkan bangku daripada bahan terbuang itu.
Pelajar jurusan reka bentuk perabot di Universiti Seni dan Reka, bandar Uiwing, Korea Selatan itu menampilkan penyelesaian yang mesra alam untuk mengitar semula pelitup muka terpakai menjadi suatu yang boleh dimanfaatkan.
Pemuda berusia 23 tahun tersebut menggelarkan bangku kecil buatannya itu sebagai stack and stack.
Untuk rekod, pada bulan September sahaja, Korea Selatan telah menghasilkan lebih satu bilion pelitup muka untuk kegunaan domestik.
Ha-neul berasa risau dengan timbunan sampah daripada pelitup muka itu yang diperbuat daripada polypropylene.
Oleh itu, dia membuat keputusan untuk cuba mengitar semula pelitup-pelitup muka tersebut dengan menghasilkan produk perabot.
Sebanyak 1,500 pelitup muka diperlukan bagi menghasilkan satu bangku kecil itu.
“Plastik boleh dikitar semula. Mengapa kita tidak berbuat perkara yang sama dengan pelitup muka?
“Saya yakin, usaha ini mempunyai potensi yang besar dan pada masa sama boleh menyelamatkan alam daripada tercemar dengan sisa buangan pelitup muka,” katanya yang bercita-cita membuka perniagaan perabot pada masa akan datang.

Sehubungan itu, bagi tujuan mengumpul topeng muka terpakai itu, Ha-neul telah meletakkan kotak khas di tempat pengajiannya pada bulan Jun lalu.
Sejak itu, Ha-neul telah berjaya mengumpulkan 10,000 pelitup muka terpakai dan pihak kilang juga menyumbangkan lebih satu tan pelitup muka yang rosak kepadanya.
Selepas menerima pelitup muka tersebut, Ha-neul akan menyimpannya dalam tempoh sekurang-kurang empat hari bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
Setelah itu, Ha-neul akan menanggalkan tali dan wayar elastik pada pelitup muka lalu mencairkan bahagian pelitup wajahnya yang berwarna putih, merah jambu, biru serta hitam itu pada suhu lebih 300 darjah Celsius bagi membentuk bangku berkaki tiga berketinggian 45 sentimeter.
Selain daripada bangku, Ha-neul berharap dapat menghasilkan produk lain seperti kerusi, meja dan lampu menggunakan pelitup muka terpakai itu pada masa akan datang.
Bangku berkaki tiga itu ditunjukkan oleh Ha-neul dalam satu pameran di Universiti Seni dan Reka, bandar Uiwing baru-baru ini.
Dia juga menggesa pihak kerajaan dan syarikat swasta agar meletakkan kotak khas bagi mengumpul pelitup muka terpakai di tempat awam.

Idea inovasi yang dihasilkan Ha-neul hakikatnya turut mengejutkan rakan-rakannya yang kagum dengan penghasilan bangku menggunakan bahan terpakai itu.
“Penghasilan bangku ini merupakan mesej daripada saya untuk mengajak orang ramai dan pihak kerajaan memandang serius mengenai perkara ini.
“Ia juga mengingatkan kita mengenai pandemik Covid-19 pada tahun 2020 ini selain pembuatan produk mesra alam,” tuturnya.
Sementara itu, sebuah syarikat di Perancis turut mengambil langkah serupa dengan mengitar semula pelitup muka terpakai untuk dijadikan pelbagai produk sebagai solusi kepada pencemaran daripada bahan tersebut.
Sejak pertengahan Julai lalu, syarikat Plaxtil dari Chatellerault yang terletak di bahagian tengah Perancis telah mengitar semula ribuan pelitup muka untuk dijadikan produk berguna.
Menurut Pengasas Bersama Plaxtil, Olivier Civil, pihaknya percaya bahawa pelitup muka terpakai itu bakal menyumbang kepada produk yang berguna pada masa akan datang.
“Usaha ini sekali gus, memberi solusi kepada pencemaran pelitup muka di daratan dan air.
“Apatah lagi, Covid-19 ini dijangka akan berterusan dalam jangka masa panjang yang lama maka, penggunaannya akan bertambah saban hari,” jelasnya.
Civil memberitahu, pihaknya yakin dapat melakukan sesuatu menggunakan bahan terpakai itu dan memperbaharui nilainya.
Plaxtil yang dilancarkan pada November 2019 itu sebelum ini pakar dalam mengitar semula pakaian dengan mengubahnya menjadi bahan seperti plastik.
Pelitup-pelitup muka itu dikumpulkan dan ‘dikuarantin’ selama empat hari.

“Kami mempunyai 50 lokasi pengumpulan pelitup muka terpakai seperti di kedai, farmasi dan pusat beli-belah di sekitar negara ini.
“Logam daripada pelitup muka itu akan dikeluarkan kemudian ia digiling dan dihancurkan serta dimasukkan ke dalam terowong sinaran ultraungu untuk mematikan virus secara mendalam,” terangnya.
Tambahnya, bahagian yang melitupi muka pula akan dikisar dan mencampurkannya dengan bahan pengikat lalu dijadikan plastik.
Ulasnya lagi, pelitup muka terpakai itu boleh diubah menjadi sebilangan besar produk berbeza.
Namun, buat masa ini pihaknya mengitar semula bahan terpakai itu kepada produk yang boleh digunakan dalam memerangi Covid-19 seperti pelindung wajah plastik.
Sehingga kini, Plaxtil telah mengitar semula 50,000 pelitup muka dengan menghasilkan antara 2,000 hingga 3,000 pelindung wajah plastik sejak akhir Jun lalu.
Civil menegaskan bahawa, pelitup muka yang dibuang itu memerlukan masa hampir 500 tahun untuk terurai.

Oleh itu, sekiranya ia dibuang ke laut akan menjadi salah satu bahan pencemar paling teruk.
“Namun, membakarnya juga bukanlah penyelesaikan yang baik kerana tahap pelepasan karbon dioksida yang dihasilkan sangat besar.
“Justeru, satu-satunya penyelesaian untuk menyelamatkan bumi ialah dengan mengitar semula bahan ini,” tuturnya.
Dalam pada itu, Pengarah Projek dan Strategi Korporat Ocean Conservancy, Edith Cecchini berkata, tidak diragukan lagi bahawa peralatan-peralatan perlindungan diri (PPE) yang digunakan dalam suasana Covid-19 ini boleh memberi kesan negatif terhadap alam sekitar.
“Para saintis menganggarkan seluruh dunia menggunakan 129 bilion pelitup muka dan 65 bilion sarung tangan setiap bulan.
“Kami telah melihat laporan mengenai hidupan marin termasuk burung laut yang memakan bahan ini lalu nyawanya terancam,” ulasnya.
Cecchini melahirkan kebimbangannya ekoran pandemik Covid-19 telah meledakkan penggunaan bahan-bahan pakai buang.
Beliau berharap agar semua pihak mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menguruskan sampah-sampah tersebut.
Salah satu caranya adalah dengan mengitar semula dan memakai pelitup muka yang diperbuat daripada bahan organik mudah terurai.















