fbpx
Kementerian Pendidikan

4,596 permohonan pertukaran guru duka lara diluluskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Sebanyak 4,596 daripada 19,071 permohonan pertukaran guru duka lara diluluskan Jawatankuasa Pertukaran Guru di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) bagi sesi Januari 2021 dengan peningkatan 10.6 peratus atau 439 berbanding tahun lalu.

Jumlah kelulusan pertukaran itu adalah 24.01 peratus daripada keseluruhan permohonan yang diterima melalui modul eGTukar yang dibuka bagi tempoh 17 Februari hingga 17 Mac lalu.

KPM berkata, proses kelulusan pertukaran seseorang guru adalah berdasarkan kepada tiga kriteria utama iaitu Kepentingan Perkhidmatan, Kekosongan Perjawatan serta Keperluan Opsyen atau Mata Pelajaran di sekolah-sekolah di negeri yang dimohon.

“Perlu diperjelaskan bahawa dalam membuat pertimbangan terhadap pertukaran guru serta kebajikan mereka, KPM juga harus memberi keutamaan ter­hadap kebajikan dan kepentingan pembelajaran murid,” katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo! di sini semalam.

KPM berkata, semua permohonan pertukaran diproses dengan mengambil kira alasan pemohon berdasarkan wajaran seperti yang ditetapkan dalam modul eGTukar.

“Keputusan terhadap kelulusan permohonan pertukaran tersebut dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Pertukaran Guru yang diwujudkan di peringkat KPM.

“Tiada sebarang bilangan kuota ditetapkan bagi permohonan pertukaran dan kelulusan permohonan pertukaran adalah bergantung kepada kekosongan perjawatan serta keperluan opsyen mata pelajaran di negeri yang dimohon,” katanya.

Sementara itu, KPM berkata, pertukaran bagi kelulusan permohonan sesi Januari tahun depan akan berkuat kuasa pada 20 Januari bagi guru yang tidak mengajar kelas peperiksaan.

“Sementara bagi guru yang mengajar kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, tarikh kuat kuasa pertukaran adalah selepas tamat peperiksaan ber­kenaan,” katanya.

Pada masa sama, KPM memaklumkan bahawa sebarang rayuan bagi permohonan yang gagal adalah tidak dibenarkan dan keputusan permohonan pertukaran telah dimuktamadkan.

“Sehubungan itu, mana-mana guru yang tidak berjaya dalam permohonan sesi ini boleh mengemukakan permohonan pertukaran baharu bagi sesi akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sekiranya terdapat elemen penipuan dalam permohonan seperti penipuan laporan polis atau sa­kit, KPM berkata, pihaknya tidak mengesan sebarang penipuan sedemikian.

“Tiada sebarang elemen penipuan dalam permohonan yang dikesan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN