fbpx

19 Februari depan sebutan semula kes Guan Eng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rayer (kanan) dan Ruben Kumar (kiri) mewakili Guan Eng di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini. Foto AMIR IRSYAD OMAR.

SEBERANG PERAI – Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini menetapkan 19 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes rasuah membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, 60.

Kes itu turut membabitkan isteri Guan Eng, Betty Chew Gek Cheng, 56, dan ahli perniagaan, Phang Li Koon, 48.

Hakim Ahmad Azahari Abd. Hamid membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan memohon kepada mahkamah untuk melengkap dokumen berkaitan sebelum diserahkan kepada pihak mahkamah.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shafiq Hasim memberitahu, pihaknya telah menyerahkan kira-kira 100 dokumen dalam bentuk salinan cakera padat (CD) sebelum ini, namun masih memerlukan masa untuk menyerahkan baki lima dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan.

Pihak pembelaan yang diwakili R. S. N Rayer dan A. Ruben Kumar juga memberitahu mahkamah bahawa pihaknya mahu dokumen dalam bentuk salinan bercetak daripada pihak pendakwaan.

Pada prosiding itu kesemua tertuduh tidak hadir kerana mendapat pengecualian mahkamah.

Terdahulu, pada 11 Ogos lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk suapan wang berjumlah RM372,000 bagi isterinya melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd.

Ia dengan cara memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn. Bhd. ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Juru dan sebahagian Lot 282, Batu Kawan di sini yang bernilai RM11.61 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Georget Town dekat sini di antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Di mahkamah sama, Li Koon turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Guan Eng di lokasi dan tempoh yang sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, di mahkamah sama, Gek Cheng mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM372,000 hasil daripada aktiviti haram.

Beliau yang juga merupakan seorang peguam didakwa menerima wang itu daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd. yang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad yang didakwa dilakukan antara Oktober 2013 hingga Mac 2016.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.

Gek Cheng didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001 (Akta 613). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI