KUALA LUMPUR – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini terhadap tuduhan membunuh seorang pemasang khemah di Taman Intan Baiduri, Kepong di sini, tiga minggu lalu.
Mengikut pertuduhan, P. Thiagarajan, 42, yang juga seorang penganggur dan Elias Zainal Abidin, 44, yang bekerja sebagai mekanik didakwa bersama-sama membunuh M. Tushilen, 21, di hadapan Blok E, Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Intan Baiduri di antara pukul 10 pagi dan pukul 1 tengah hari, 25 November lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh dan mereka mengangguk faham ketika tuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. Mereka tidak dikenakan jaminan.
Majistret Wong Chai Sia menetapkan kes itu disebut pada 18 Februari tahun depan bagi mendapatkan laporan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Akhbar sebelum ini melaporkan, mangsa dipercayai datang ke PPR berkenaan bersama rakannya untuk memasang khemah sebelum beredar membeli makanan di Blok E.
Bagaimanapun, dua penunggang motosikal dipercayai menghampiri mangsa manakala salah seorang daripadanya turun daripada motosikal lalu menetak pemuda berkenaan.
Menurut laporan akhbar lagi, Tushilen dipercayai melarikan diri ke arah Blok B sebelum rebah. Dia ditemui orang awam di tempat kejadian. -K! ONLINE














