fbpx

Didenda RM30, 000 terima suapan cap passport warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi pegawai SPRM selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini.

MELAKA – Seorang pegawai Jabatan Imigresen didenda RM30, 000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah menerima suapan bagi mendapatkan perakuan cop keluar masuk passport warga asing, dua tahun lalu.

Hakim, Datuk Mohd. Nasir Nordin, menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Shafiq Suboh, 29, yang membuat pengakuan itu sejurus tiga pertuduhan pilihan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan pilihan pertama, tertuduh yang merupakan pegawai imigresen gred KP19 bertugas di Jabatan Imigresen Malaysia di Johor didapati menerima suapan daripada seorang individu bernilai RM360 sebagai dorongan bagi mendapatkan perakuan cop keluar masuk passport warga asing tanpa perlu keluar dari negara.

Mengikut pertuduhan pilihan kedua dan ketiga, tertuduh turut didapati melakukan kesalahan sama melibatkan jumlah suapan masing-masing RM320 dan RM800.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh menerusi akaun CIMB Bank Berhad di Taman Mutiara Melaka, Batu Berendam membabitkan tiga transaksi berasingan pada Julai hingga September 2018 lalu.

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM100,000 atau keduanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan akan menimang cahaya mata sulung selepas berkahwin pada Mac lalu, selain isterinya memerlukan sokongannya ekoran sebelum ini pernah mengalami depresi.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwanshah Abdul Samat, bagaimanapun memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh ‘menggadaikan’ keselamatan negara, selain kes ini turut mendapat perhatian masyarakat.

Sejurus mendengar hujahan kedua pihak, Mohd. Nasir kemudian menetapkan hukuman denda sebanyak RM10,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda bagi setiap tiga pertuduhan pilihan berkenaan.

Pada 16 November lalu, SPRM telah menjalankan Ops Selat dengan kerjasama Jabatan Imigresen yang berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah melibatkan sindiket yang menyalahgunakan pengesahan cop keluar dan masuk sempadan utama negara.

Difahamkan seramai lapan pegawai Jabatan Imigresen didakwa pada hari ini dan Rabu di enam negeri berhubung kes itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI