PUTRAJAYA – Tahniah pihak pengurusan Masjid Putra.
Ucapan tahniah itu dikongsi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada pihak pengurusan Masjid Putra kerana mengamalkan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi ketika solat Jumaat, semalam.
Berkongsi perkara itu menerusi laman sosialnya, Zulkifli memaklumkan, beliau menerima kiriman gambar-gambar suasana solat Jumaat di Masjid Putra yang tular semalam dan mendapat pujian di media antarabangsa.
“Ia menggambarkan disiplin umat Islam di Malaysia dalam mematuhi SOP yang diputuskan oleh kerajaan dan pihak berkuasa agama negeri.
“Tahniah saya ucapkan kepada warga Masjid Putra terutamanya Imam Besar Masjid Putra Ustaz Ikmal Zaidi Hashim dan seluruh jawatankuasa masjid.
“Tidak dilupakan kepada petugas-petugas Muslimah yang menyusun kasut dan selipar. Insya-Allah, jika ada masa yang sesuai saya ingin bertemu barisan petugas Muslimah ini,” katanya.
Zulkifli berkata, masjid dan surau di Malaysia adalah contoh terbaik pematuhan SOP bagi tempat-tempat yang ada perhimpunan awam di seluruh Malaysia.
Beliau berkata, insya-Allah, masjid dan surau juga adalah tempat yang paling selamat dan bersih.
“Perkara ini penting bagi menentukan tahap risiko jangkitan Covid-19.
“Sama-sama kita doakan semoga wabak ini beransur hilang dan kita dapat kembali mengimarahkan seperti sebelumnya,” katanya.
Zulkifli turut berkongsi pautan percuma Majalah Al-Bayan bertajuk ‘Isu Penjarakan Fizikal Semasa Solat Berjemaah di Masjid dan Surau’ sebagai panduan kepada umat Islam dan pengurusan masjid dan surau di seluruh negara.
Pautan percuma itu boleh dimuat turun menerusi https://mira.gov.my/wp-content/uploads/2020/11/Al-Bayan_SIRI-6_FINAL-4_compressed.pdf. – K! ONLINE














