fbpx

Warga Pakistan beri rasuah pada Imigresen dijel 30 hari, denda RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD Irfan dijel 30 hari dan denda RM10,000 atas pertuduhan memberi rasuah kepada imigresen.

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga kain warga Pakistan yang merupakan ejen warga asing, dipenjara 30 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan memberi suapan kepada pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebagai upah membantu melepaskan warga asing keluar dari negara ini.

Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman penjara dan denda itu selepas tertuduh, Muhammad Irfan, 34 mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 30 hari lagi penjara sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa memberi suapan berjumlah RM12,500 kepada Pegawai Imigresen yang merupakan Pegawai Imigresen di Unit Kawalan Pintu Masuk Udara, Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai upah membantu melepaskan 20 warga Pakistan dan seorang warga Bangladesh untuk pulang ke negara asal tanpa diambil tindakan undang-undang.

Kesalahan itu dilakukan dalam kereta hadapan sebuah restoran di Presint 8, Putrajaya, antara 3.25 petang hingga 3.32 petang pada 16 November lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh 15 bulan daripada tempoh penjara maksimum lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahadi Abdul Jumaat berkata, bernasib baik kerana ditawarkan pertuduhan pilihan, namun mahkamah perlu mempertimbangkan kes ini yang mempunyai kepentingan awam.

“Kes ini melibatkan keselamatan awam dan tertuduh berani memperjudikan diri untuk membuat proses pengeluaran 21 orang pendatang asing tanpa izin yang tinggal lebih masa di negara ini. Mohon tertuduh dikenakan hukuman penjara dan denda bagi mencerminkan keseriusan kes selain memberi pengajaran kepada tertuduh dan mesej kepada orang ramai di luar sana,” katanya.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan perlu menanggung keluarga dan baru mendapat bayi dua hari lalu dan urusan kelahiran anak belum dibuat. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI