fbpx

Jabatan Perikanan kesal premis ternakan cemar Sungai Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota LUAS sedang mengambil sampel air daripada kolam ikan keli di Mukim Sungai Tinggi, Hulu Selangor. - Foto oleh ZULFADHLI ZAKI

PETALING JAYA – Pihak Jabatan Perikanan berasa kesal terhadap premis ternakan akuakultur yang melakukan pembuangan air sehingga menyebabkan empat buah Loji Rawatan Air di Selangor diarahkan tutup baru-baru ini.

Jabatan Perikanan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berasa kesal terhadap kejadian tersebut sehingga memberi kesan kepada pengguna air di negeri Selangor.

“Pengusaha ternakan akuakultur berkenaan telah diarahkan untuk menukar fungsi sebahagian kolam ternakan kepada kolam rawatan.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perikanan sentiasa memberi khidmat nasihat kepada pengusaha dan penternak akuakultur agar mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya lagi, Garis Panduan Amalan Akuakultur Baik dan Skim Pensijilan myGAP telah diperkenalkan bagi memastikan industri tersebut terus berdaya saing dan menghasilkan makanan berkualiti serta selamat di makan selain menjaga kepentingan alam sekitar.

Mengulas lanjut, katanya, pihak jabatan juga telah memperkenalkan Kaedah-kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan) 2017 bagi kedua-dua Wilayah terbabit.

“Kaedah ini memerlukan perusahaan akuakultur dilesenkan dan mengamalkan Amalan Akuakultur Baik.

“Tindakan boleh dikenakan kepada pemilik premis akuakultur tidak berlesen atau yang melanggar syarat-syarat lesen,” ujarnya.

Tambahnya, Jabatan Perikanan sedang berusaha agar Kaedah-kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) boleh dipakai di setiap negeri suapaya industri akuakultur dapat dikawal selia dengan baik.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan, sebuah kolam ternakan ikan keli tanpa lesen melepaskan sisa pembuangan daripada 57 buah kolam di kawasan tersebut menjadi punca kepada penutupan empat buah Loji Rawatan Air (LRA) Selangor selama lima jam sehingga menyebabkan pencemaran bau pada paras empat ton di Sungai Selangor. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI