DERUMAN enjin pesawat pengangkut Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia yang bingit membawa pesawat itu meluncur masuk ke ruang udara Filipina melintasi Laut China Selatan yang ke membiru saujana mata memandang.
Bilah-bilah kipasnya yang berputar ligat membelah awan pada ketinggian kira-kira 7,000 meter dari paras laut. Destinasi pesawat ini ialah ke Awang Airport di dalam pulau Mindanao, selatan Filipina.
Pesawat berkenaan yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang, Selangor membawa 16 orang anggota Pasukan Pemantau Antarabangsa Mindanao (IMT) untuk ke Cotabato City. Turut berada dalam pasukan tersebut ialah Ahmad Al-Muhaymin Abdul Wahab atau lebih mesra disapa Muhaymin.
Fikirannya ketika itu jauh melayang memikirkan perkara-perkara yang bakal dihadapi sepanjang bertugas nanti. Apatah lagi sepanjang tempoh 12 bulan itu terpaksa meninggalkan isteri dan dua anak yang masih kecil.
Peluang bertugas di luar negara pasti mengujakan sesiapa sahaja selain dapat merasai suasana di tempat orang. Bagaimanapun, perasaan seronok boleh bertukar jika mengetahui kawasan yang bakal dihuni itu nanti adalah zon konflik.

Sehubungan itu, bukan sebarangan individu dapat melalui pengalaman sebegini. Tambahan pula, lokasi penugasan adalah di sebuah wilayah bergolak dengan kejadian letupan bom dan tembakan sejak puluhan tahun.
Muhaymin menyertai IMT M-13, iaitu kumpulan ke-13 yang dihantar bertugas di wilayah itu selama 12 bulan bermula pada 14 Mac 2018. Pada masa ini misi di Mindanao dilaksanakan kumpulan atau tim IMT M-15.
Tim Pemantau Antarabangsa (TPA)-M13 diketuai Mejar Jeneral Datuk Mohd. Nazir Mami yang terdiri daripada 16 anggota iaitu 11 daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dua daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala tiga kakitangan awam daripada Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Luar.
Semasa menyertai misi ini, Muhaymin merupakan pegawai awam iaitu tadbir dan diplomatik di Mindef. Kini beliau bertugas sebagai Setiausaha Sulit Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.
Pasukan Pemantau Malaysia ini adalah sebahagian daripada pasukan IMT yang melaksanakan tugas pemantauan dan mengawasi proses gencatan senjata antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
IMT ditubuhkan sejak 24 Ogos 2004 berperanan penting dalam memastikan kerajaan Filipina dan MILF mematuhi perjanjian gencatan senjata.
Kedua-dua pihak bersetuju melantik Malaysia sebagai perunding perjanjian damai dan menghantar kumpulan pemantau diketuai oleh Malaysia. Turut terbabit pada masa itu ialah Libya dan Brunei sebelum disertai Jepun pada 2007.
Mengingati kembali detik berada di sana, kata Muhaymin, sebaik menjejakkan kaki di Cotabato City, terdetik rasa pilu di hatinya apabila melihat keadannya seperti Malaysia sekitar tahun 1970-an. Suasana di bandar ini juga ketinggalan berbanding sebuah pekan kecil di negara kita.
Katanya, konflik bersenjata yang berlarutan juga menyebabkan penduduk di Cotabato City hidup dalam kemiskinan. Walaupun berstatus sebuah bandar, tetapi jurang antara penduduk kaya dan miskin amat ketara.

“Difahamkan, sebelum pemerintahan Presiden Rodrigo Duterte, hampir setiap keluarga mempunyai senjata api. Namun, jumlah itu berkurangan selepas diserahkan kepada pihak berkuasa atas arahan kerajaan,” ujarnya.
Bertugas sebagai pelaksana keamanan menyebabkan Muhaymin perlu pergi ke setiap daerah dan kampung bertemu masyarakat setempat memberi penerangan.
Tugasan ini memerlukan Muhaymin bertemu dengan komander-komander MILF termasuklah kumpulan-kumpulan pejuang kecil.
Hampir kebanyakan tugasan ini juga perlu diringi anggota tentera Filipina, polis dan juga pejuang-pejuang MILF lengkap bersenjata yang gayanya seolah-olah hendak pergi berperang.
“Walaupun disediakan pengawal bersenjata, namun penugasan IMT M-13 dilakukan amat berhati-hati, tambahan pula terdapat khabar angin kemungkinan Cotabato City menjadi sasaran kedua pejuang Maute dan Daesh selepas Marawi.
“Saya bersama anggota IMT pernah diiringi kira-kira 30 anggota tentera Filipina menaiki kereta perisai masuk ke sebuah kampung di Maguindanao kerana terdapat beberapa kumpulan pejuang serpihan MILF yang antikerajaan.
“Kami diberi masa dua jam untuk menjalankan tugas sebelum dibawa keluar kerana bimbangkan keselamatan. Memang rasa berdebar apabila berhadapan situasi seperti ini kerana sebarang kesilapan, nyawa juga mungkin terancam,” ujar Muhaymin.
Tambahnya, antara pengalaman tidak boleh dilupakan adalah ketika menyiasat satu insiden letupan bom yang mengorbankan seorang ustaz di satu tempat di Maguindanao.
“Hakikatnya kerap kali juga pergolakan berlaku antara kumpulan-kumpulan MILF sendiri termasuklah yang berpunca daripada perbalahan antara keluarga,” cerita Muhaymin mengenang peristiwa berdarah tersebut.

Pun begitu Muhaymin berkata, pengalaman menjalani latihan ketenteraan semasa menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan ketika menuntut di Universiti Malaya membantu dirinya dalam mendepani situasi sukar dan mencabar.
Katanya, persekitaran suasana perang memerlukan dirinya sentiasa berhati-hati dan perlu cerdas berfikir.
“Semasa bertugas, kami ditempatkan di sebuah banglo bersama petugas negara-negara lain siap dengan pengawal, tukang masak dan tukang kebun. Penduduk di situ pula memang ramah-tamah, tambahan kanak-kanak yang kelihatan seronok apabila foto mereka saya rakam sebagai kenang-kenangan.
“Cotabato City adalah nama dalam bahasa Maguindanao bermaksud kota batu merujuk kepada kubu batu terdapat di situ yang dikatakan dibina seorang pahlawan tempatan.
“Wilayah ini mempunyai sejarah yang panjang dan ia silih berganti dijajah termasuk oleh Sepanyol pada pertengahan kurun ke-19.
“Wilayah ini juga pernah dijajah Amerika Syarikat yang membawa kepada penubuhan Wilayah Moro pada tahun 1903,” ujarnya.

Tempoh setahun penugasan ini dikongsi Muhaymin dalam buku kecil nukilannya berjudul Debaran Semusim Di Cotabato yang mencoretkan kisah-kisah Pasukan Pemantau Malaysia di Cotabato City.
Buku ini diterbitkan pihak Studio Anai Anai pada Februari lalu sebagai tanda kenang-kenangannya untuk didedikasikan buat para petugas IMT M-13.
Menggunakan gaya penulisan mudah dan ringkas, namun penceritaan buku kecil setebal 114 halaman ini memikat pembaca untuk terus membaca.
“Debaran Semusim Di Cotabato turut diselit dengan beberapa kisah setempat yang mencuit hati pembaca, misalnya semasa saya bersama pegawai-pegawai lain dijemput menghadiri majlis perkahwinan salah seorang anggota MILF.
“Menariknya, ini merupakan perkahwinan kedua anggota tersebut dan sepanjang kenduri berlangsung, imam dan ustaz berucap tentang kebaikan poligami. Pada paparan video perkahwinan pula menunjukkan isteri pertama pegawai itu menyampaikan ucapan tahniah kepada suaminya,” kata Muhaymin.
Ketika ini, Muhaymin sedang menyiapkan sambungan kedua buku berkenaan yang bakal menghimpunkan banyak lagi kisah pengalaman yang tidak diceritakan pada buku sebelumnya.














