fbpx

Sarjan Norihan dibenar pulang ke rumah hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norihan Tari (kanan) dan Rosman (kiri) pada Majlis Menyambut Kepulangan Wira Negara di Ibu Pejabat Batalion 3 PGA, Bidor, Perak tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Sarjan Norihan Tari, 39, telah dibenarkan pulang ke kediamannya di Bidor, Perak dari Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

Norihan yang ditemani isterinya dibawa pulang dengan menaiki kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sambil diiringi pegawai dan beberapa anggota.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA, Superintenden Rosman Kasman berkata, anggota terbabit selamat tiba ke Kem Batalion 3 PGA, Bidor di Perak pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

“Ketibaan Norihan disambut sebagai Pewira Negara dalam satu majlis yang diadakan di lobi bangunan Ibu Pejabat Batalion 3 PGA tengah hari tadi.

“Dia (Norihan) dilihat bertambah sihat dan ceria serta mengatakan tidak sabar untuk kembali menjalankan operasi di lapangan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Norihan menerima rawatan di HPP sejak 25 November lalu dan telah menjalani pembedahan membuang sebutir peluru pada perut sehari kemudian.

Dalam kejadian pada pukul 3.10 pagi, 23 November lalu, Norihan dan seorang lagi anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkena tembakan dipercayai oleh anggota kumpulan penyeludup ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, Perlis.

Bagaimanapun, Baharuddin maut di tempat kejadian selepas ditembak pada bahagian kiri perut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI