fbpx

Jangan senyap jika ditawarkan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamshun Baharin

PETALING JAYA – Minda masyarakat di Malaysia perlu diterapkan dengan pemahaman bahawa perbuatan rasuah adalah perkara yang perlu dilaporkan dan kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan hukuman

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata, jika sebelum ini peringatan kegagalan melaporkan rasuah itu boleh dianggap sebagai amaran, ia kini sudah boleh dikenakan tindakan sewajarnya.

“Sebagai bukti, baru-baru ini seramai lima kakitangan Kementerian Kewangan telah dihukum denda oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku salah tidak melaporkan kepada pihak berkuasa setelah ditawarkan rasuah.

“Mereka menjadi individu pertama yang didakwa gagal melaporkan tawaran kes rasuah mengikut Seksyen 25(1) SPRM 2009,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Shamshun Baharin, tindakan mencegah rasuah di Malaysia jika diamati sebenarnya telah mencakupi semua aspek hinggakan kegagalan melaporkannya turut dikira sebagai satu kesalahan jenayah.

“Sebab itulah, kewujudan Seksyen 25 Akta SPRM ini mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) sebagai salah satu amalan baik menerusi Laporan Hasil Penilaian Kumpulan Semakan Pelaksanaan (IRG) Ke atas Pematuhan Terhadap Bab III dan IV Konvensyen PBB Pencegahan Rasuah (UNCAC) pada 2014.

“Malah tidak keterlaluan jika dikatakan Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang memperuntukkan undang-undang bagi kesalahan seumpama ini,” ujar beliau.

Tambah beliau, masyarakat bukan sahaja harus menolak rasuah, malah jangan lupa bahawa kita juga mempunyai satu lagi tanggungjawab iaitu untuk melaporkannya.

“Jika perbuatan rasuah tidak dilaporkan, kita juga adalah penjenayah sama seperti pemberi dan penerima malah pilihan kita untuk melaporkan rasuah itulah yang akhirnya membezakan kita antara menjadi wira atau penjenayah.

“Yakinlah bahawa SPRM sentiasa memastikan kerahsiaan maklumat yang diberikan dan pemberi maklumat adalah dilindungi serta tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak dalam apa jua keadaan,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI