fbpx

Ahmad Faizal akan menghadap Sultan Perak petang ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Faizal pada sidang akhbar mengenai kedudukannya sebagai Menteri Besar Perak selepas gagal mendapat majoriti ADUN hari ini.

IPOH – Selepas gagal mendapat kepercayaan majoriti daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah petang ini bagi proses pelantikan Menteri Besar Perak baharu.

Ahmad Faizal berkata, beliau akan memohon menghadap Sultan Nazrin kepada pihak Istana dan menunggu perkenan baginda bagi menyembah maklum keputusan usul undi percaya terhadapnya pada sidang DUN pagi tadi.

“Speaker DUN akan menyembah maklum keputusan undi percaya dalam DUN hari ini dan saya juga akan mohon menghadap baginda.

“Saya kira selepas itu sultan akan membuat keputusan untuk memilih salah seorang daripada kami ahli dewan yang baginda percaya mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, beliau percaya perkara tersebut perlu dilakukan dengan kadar segera memandangkan kerajaan negeri perlu meluluskan belanjawan kerajaan negeri untuk tahun hadapan.

Beliau turut percaya Sultan Nazrin akan membuat keputusan terbaik dalam pemilihan Menteri Besar yang baharu.

Katanya, beliau tidak menjangkakan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan ketika negara dilanda Covid-19 ini dan menjangkakan hanya perubahan dalam jawatan Menteri Besar sahaja.

“Saya berlapang dada merima keadaan ini dan sebagai Pengerusi Bersatu Perak, saya akan cari jalan untuk beri peluang kepada Menteri Besar baharu menjalankan tanggungjawab beliau,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kedudukan Bersatu Perak dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri yang sedia ada perlu dikekalkan.

“Kerajaan PN diterima baik oleh rakyat dan momentum itu perlu dikekalkan,” katanya.

Berhubung undi percaya terhadapnya, Ahmad Faizal menjelaskan perkara tersebut disebabkan ada pihak lain yang merasakan mereka boleh mentadbir negeri dengan lebih baik.

“Apa yang berlaku di Perak sebelum pagi ini berjalan baik, namun mungkin ada di antara mereka yang melihat pentadbiran saya tidak baik,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan majoriti daripada ahli DUN Perak dalam undi usul percaya terhadap beliau hari ini.

Dalam undian daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI