fbpx

Mekanisme harga cukai jalan perlu dirombak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
WAN AZHAR WAN ABDULLAH,
PENOLONG PENGARANG BERITA

SISTEM penentuan kadar bayaran cukai jalan yang diguna pakai sekarang adalah semakin kurang relevan dan tidak sejajar dengan perkembangan automotif global.

Pada hemat penulis, sistem tersebut seperti juga kebanyakan cukai lain, bertujuan untuk mengenakan bayaran lebih mahal untuk kereta mewah yang sudah tentu dibeli dan digunakan oleh golongan kaya.

Secara ringkasnya, caj cukai jalan di Malaysia menjadi bertambah mahal apabila kapasiti enjin kenderaan semakin meningkat.

Sebagai contoh, cukai jalan kereta persendirian dengan kapasiti enjin petrol 1,000cc dan ke bawah adalah cuma RM20 setahun, manakala cukai jalan kenderaan yang memiliki kapasiti enjin petrol 1,600cc pula ialah RM90 dan RM280 untuk kereta 1801cc hingga 2000cc.

Bayaran cukai jalan kereta berkapasiti enjin melebihi 3000cc ialah RM2,130 dengan caj RM4.50 untuk pertambahan setiap 1cc sekali gus menyaksikan bayaran yang dikenakan meningkat secara drastik.

Pemilik kereta Nissan 370Z Coupe dengan kapasiti enjin petrol 3,696cc perlu membayar cukai jalan lebih RM5,000 setahun, manakala pemilik jentera Lamborghini Aventador dengan kapasiti enjin 6,500cc perlu membayar cukai jalan hampir RM18,000 setahun.

Pembayaran cukai jalan yang meningkat dengan pertambahan sesaran enjin itu sesuai diguna pakai pada tahun 60-an hingga 90-an dahulu.

Ini kerana banyak kereta mewah pada zaman tersebut menggunakan enjin bersesaran lebih besar seperti enjin enam silinder sebaris. Kereta BMW dan Mercedes era 70-an dan 80-an, rata-rata mempunyai kapasiti enjin 2,000cc dan ke atas.

Penulis tidak pernah berjumpa kereta Mercedes E Class atau S Class yang mempunyai sesaran 1,500cc atau 1,300cc, malah kereta BMW 850 ketika itu mempunyai enjin 5,600cc dengan konfigurasi V12. Bayangkan harga cukai jalan yang perlu dibayar oleh pemiliknya.

Bagaimanapun, zaman telah berubah. Era tahun 2000 dan ke atas menyaksikan kemunculan kereta mewah dan separa mewah yang berharga lebih RM150,000 tetapi memiliki kapasiti enjin yang kecil.

Sebagai contoh, kereta Mercedes A Class AMG siri 45 menampilkan enjin empat silinder turbo berkapasiti 2,000cc tetapi mampu menjana lebih 400 kuasa kuda.

Harga kereta tersebut adalah lebih RM400,000 dan tergolong dalam kategori kereta mewah, namun jika dikira harga cukai jalannya adalah setara atau lebih sedikit daripada kereta 2,000cc lain yang harganya jauh lebih murah seperti Proton Perdana, Honda Civic dan lain-lain jenama.

Contoh lain adalah kereta Honda Civic 1.5 Turbo yang berharga sekitar RM126,000 tetapi pemilik hanya membayar harga cukai jalan semurah sekitar RM90 setahun.

Justeru, konsep kereta mewah semestinya memiliki kapasiti enjin besar tidak lagi boleh diguna pakai apatah lagi menjelang dekad akan datang yang bakal menyaksikan kereta elektrik membanjiri jalan raya di seluruh dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI