fbpx

99 peratus guna transaksi tanpa tunai di JPJ Batu Uban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
99 peratus pelanggan menggunakan kaedah transaksi tanpa tunai di pejabat JPJ Batu Uban, George Town.

GEORGE TOWN – Sebanyak 99 peratus pelanggan yang melakukan urusan berkaitan pembayaran di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Batu Uban di sini telah menggunakan kaedah transaksi tanpa tunai.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Aminurrahim Mohamed berkata, pejabat JPJ di negeri ini dan JPJ Perlis merupakan dua agensi JPJ yang menjadi perintis transaksi tanpa tunai dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Utara melalui kempen yang bermula semalam.

“Seperti kita sedia maklum cawangan JPJ Pulau Pinang di Pusat Transformasi Bandar (UTC) telah melaksanakan transaksi tanpa tunai selepas mendapat kebenaran Kementerian Kewangan.

“Walaubagaimanapun, tujuan kita sebolehnya dapat melaksanakan sistem transaksi tanpa tunai seberapa segera di seluruh cawangan JPJ di UTC di seluruh negara bermula tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 99 peratus pelanggan di JPJ Batu Uban telah melakukan proses pembayaran secara tanpa tunai, manakala di JPJ Perlis lebih 91 peratus pelanggan menggunakan kaedah itu selepas bermula sejak Oktober lalu.

“Selain meningkatkan kecekapan dan integriti dalam perkhidmatan awam, kelebihan kaedah ini adalah bersesuaian dengan kehidupan dan norma baharu pasca Covid-19 kerana mengurangkan sentuhan ketika transaksi.

“Pelanggan juga boleh menjejak rekod kewangan secara sistematik selain masalah daripada penggunaan wang tunai seperti isu pemulangan baki, wang palsu, keciciran dan kecurian dapat dielakkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah MPC Wilayah Utara Dr. Mazrina Mohd. Ibramsah berkata, sebagai sebuah jabatan yang memacu produktiviti negara, adalah menjadi tanggungjawab pihaknya untuk menyokong transformasi agensi kerajaan dan negeri-negeri.

“Program transaksi tanpa tunai ini adalah selaras dengan program Behavioral Insight di bawah inisiatif Penang Produktif, Perlis Produktif dan Kedah Produktif.

“Antara perkhidmatan transaksi tanpa tunai di JPJ yang boleh digunakan pelanggan merangkumi pembaharuan lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dengan hanya membawa kad debit atau kad kredit ke mana-mana cawangan JPJ,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI